Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) yang menjadi antara lokasi wajib dikunjungi apabila datang ke Terengganu terus menjadi tumpuan ramai.

Tinjauan mendapati PBKP yang menempatkan pelbagai produk dan makanan tradisional Terengganu sesak dengan kehadiran orang ramai yang menyerbu pasar berkenaan sepanjang cuti umum persekolahan.

Malah, laluan ke pasar juga sesak dengan kehadiran pengunjung terutama dari luar Terengganu yang mengambil kesempatan membeli pelbagai barangan sebelum bertolak pulang.

Pengunjung, Muhammad Fadzil A Ghani, 51, berkata, PBKP memang menjadi lokasi wajib dia bersama keluarga setiap kali bercuti di Terengganu.

Katanya, dia bersama isteri dan dua anak bertolak dari Johor Bahru pada Jumaat lalu.

"Saya memang suka bercuti di Terengganu kerana suasana di sini. Banyak lokasi tumpuan kami pergi termasuk Pulau Kapas dan Jambatan Angkat yang menjadi mercu tanda baharu Terengganu dan PBKP.

"Kalau bercuti di Terengganu, tidak lengkap jika tidak singgah di pasar ini membeli ole-ole untuk dibawa pulang.

"Kami ke sini pada jam 8 pagi tadi dan ketika itu, keadaan masih lagi lengang namun tanpa sedar, orang ramai mula memenuhi pasar ini.

"Walaupun keadaan agak sesak tetapi suasana seperti ini menyeronokkan," katanya.

Bagi Raja Shazira Raja Mansor, 43, dia bersama tujuh ahli keluarga datang ke Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan cucu angkat bapanya di Setiu dengan menaiki dua kereta.

Katanya, mereka sekeluarga bertolak dari Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad dan mengambil kesempatan singgah di PBKP untuk membeli-belah.

"Memang Pasar Payang ini lokasi wajib yang akan kami singgah setiap kali datang ke Terengganu dan orang memang ramai sehingga kami terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh dari kawasan pasar," katanya.

Peniaga, Rosila Yasin, 60, berkata, suasana di PBKP akan meriah dengan kehadiran pengunjung luar setiap kali cuti perayaan atau persekolahan.

"Musim cuti sekolah dan perayaan memang dinantikan peniaga di sini kerana pada waktu ini, jualan kami meningkat.

"Kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus memberi limpahan rezeki buat peniaga di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 2:49 PM