Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Walaupun berniaga bukan pada musim durian, namun raja buah tetap mencuri tumpuan orang ramai yang berkunjung ke Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) di sini.

Tinjauan ke gerai yang terletak di luar PBKP itu mendapati beberapa jenis durian yang dijual diperolehi dari pekebun dari Raub, Pahang antaranya D24, musang king, D18 dan durian kampung.

Pembantu kedai, Muhammad Faiz Abu Naim, 30, berkata, 300 kilogram (kg) buah durian dibeli dari pekebun dan habis dijual dalam masa dua atau tiga hari sahaja.

Menurutnya, jualan pada hari biasa boleh mencecah RM3,000 sehari dan hasil jualan akan bertambah apabila musim cuti dengan kehadiran ramai pengunjung ke pasar itu.

"Sambutan daripada orang ramai terhadap buah durian di luar musim ini begitu menggalakkan apabila kebanyakan habis dijual.

"Selain durian ini dijual secara timbang, kita juga turut menjual secara longgok sekali gus memberi pilihan kepada pembeli," katanya yang ditemui di pasar itu.

Muhammad Faiz berkata, biasanya durian akan merekah kulitnya dan rosak apabila tidak dijual dalam masa empat atau lima hari.

"Durian ini juga tidak tahan lama dan biasanya bagi mengelak kerugian, kita mengambil isi durian terbabit dengan membuat tempoyak dan dijual dengan harga RM10 kg," katanya yang tinggal di Kampung Jeram, Manir.

Seorang pelanggan, Zarilah Muda, 47, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang membeli buah durian selepas mencari barang keperluan di pasar itu.

Dia yang tinggal di Kampung Telemong, Hulu Terengganu berkata, musim begini memang sukar mendapatkan buah durian dan setakat ini hanya ada dijual di PBKP.

"Musim durian biasanya pada bulan Jun hingga Ogos dan di pasar ini selalunya akan dipenuhi dengan raja buah berbanding hari ini hanya seorang saja peniaga yang menjualnya.

"Walaupun durian ini dijual bukan pada musimnya, tapi harga yang dikenakan amat berpatutan dengan kualiti buah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 12:53 PM