Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lebih 300 peniaga di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, mengambil inisiatif menghias ruang dan gerai bagi menzahirkan rasa kecintaan kepada tanah air sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Selain Jalur Gemilang, peniaga turut memasang bendera setiap negeri sekali gus menjadikan suasana di pasar yang menjadi tumpuan pelancong itu meriah dan ceria.

Malah, peniaga turut mengeluarkan wang sendiri untuk menghias premis mereka bagi menceriakan suasana dan tanda sokongan kepada pelaksanaan program berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu Zakaria Yusoff berkata, pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri itu dibuat bermula Ogos lalu bagi meraikan Hari Kebangsaan diikuti Hari Malaysia, esok.

Katanya, inisiatif itu dilakukan bagi menyemarakkan dua hari bersejarah negara khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Pasar Kedai Payang ini menjadi antara tumpuan pelancong yang berkunjung ke Terengganu khususnya Kuala Terengganu. Apabila kita buat begini, ia bukan sahaja menceriakan kawasan pasar tetapi dapat menaikkan semangat cintakan negara sama ada dalam kalangan peniaga mahupun pengunjung.

"Selain memasang Jalur Gemilang, kita buat sikit kelainan dengan pasang bendera daripada setiap negeri kerana kita tahu lokasi ini menjadi tumpuan pengunjung luar Terengganu.

"Ia secara tidak langsung menunjukkan penghargaan kita kepada pelancong dari luar Terengganu yang memilih pasar ini sebagai lokasi beli-belah mereka," katanya ketika ditemui, di sini.

Zakaria berkata, pihaknya turut berhasrat menjadikannya sebagai acara tahunan bagi peniaga di Pasar Kedai Payang sempenan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

"Kita lihat sambutan daripada peniaga memang baik kerana ia dapat merapatkan hubungan sesama peniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 12:22 PM
Zakaria (kiri) bersama peniaga di Pasar Kedai Payang memasang jalur gemilang dan bendera setiap negeri bagi menzahirkan rasa cinta kepada tanah air sempena menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. FOTO GHAZALI KORI
Zakaria (kiri) bersama peniaga di Pasar Kedai Payang memasang jalur gemilang dan bendera setiap negeri bagi menzahirkan rasa cinta kepada tanah air sempena menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. FOTO GHAZALI KORI