Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Penyu antara cenderahati pilihan utama pengunjung yang bertandang ke Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), pada musim cuti persekolahan kali ini.

Peniaga, Rohani Salleh, 59, berkata, pengunjung luar biasanya akan membeli cenderahati penyu untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.

Menurutnya, cenderahati penyu dijual dengan harga bermula RM5 hingga RM70 bergantung kepada saiz penyu itu sendiri.

"Pada musim cuti persekolahan, jualan cenderahati penyu akan meningkatkan antara 50 hingga 100 unit memandangkan penyu merupakan ikon bagi negeri ini.

"Alhamdulillah, kehadiran pelancong dalam dan luar negeri dapat meningkatkan jualan kami peniaga di pasar ini," katanya yang sudah berniaga di PBKP lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, penyu berkain baldu merupakan pilihan utama pengunjung berikutan buatannya lebih lembut jika dibandingkan dengan penyu biasa.

ROHANI, menunjukkan cenderahati penyu yang dijualnya. FOTO Nazry Harun
ROHANI, menunjukkan cenderahati penyu yang dijualnya. FOTO Nazry Harun

Katanya, tibanya musim cuti tidak kira persekolahan atau perayaan PBKP pasti menjadi pilihan terutama pengunjung luar.

Rakannya, Wan Esah Wan Daut, 61, berkata, berikutan penyu adalah ikon Terengganu, ia menjadi pilihan pengunjung untuk dijadikan cenderahati kenang-kenangan.

"Akan berlaku peningkatan jualan setiap hari antara 60 hingga ke 100 unit cenderahati penyu ini.

"Hasil jualan bergantung kepada saiz penyu juga kerana penyu yang bersaiz kecil biasanya menjadi pilihan," katanya yang berniaga di pasar itu lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, cuti persekolahan merupakan lubuk rezeki buat peniaga bukan hanya yang menjalankan perniagaan cenderamata malah peniaga pakaian, songket, batik, tembaga, keropok dan makanan juga menerima tempiasnya.

Pengunjung, Rohaida Ishak, 30, dari Perak berkata, Terengganu sinonim dengan penyu, apabila berkunjung ke sini dia akan membeli cenderahati penyu ini untuk dibawa pulang.

"Harganya pun berpatutan kerana banyak saiz cenderahati penyu boleh dipilih dan sudah tentunya pengalaman ini menyeronokkan.

"Selain cenderahati, PBKP juga menawarkan pelbagai hasil jualan seperti kain batik, songket, tembaga dan sebagainya di bawah satu bumbung dan ia amat mudah bagi pengunjung untuk membeli-belah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 2:39 PM