Zaid Salim


PASAR Besar Kedai Payang (Pasar Payang) di Kuala Terengganu yang sepi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali ceria dengan kehadiran pelancong luar dan tempatan sekali gus memberi kelegaan kepada peniaga selepas pendapatan mereka terjejas sebelum ini.

Memasuki hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dianggarkan lebih 5,000 pengunjung mengunjungi pasar berkenaan bagi mendapatkan pelbagai barangan seperti batik, tembaga, keropok dan barangan kemas.

Peniaga emas, Tengku Muhamin Tengku Mahmud, 34, berkata, kebenaran melakukan rentas negeri menerusi PKPP memberi peluang kepada pelancong luar masuk ke negeri itu.

Menurutnya, Pasar Payang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong luar yang datang bercuti terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.

"Kebanyakan peniaga di pasar itu tidak kira sama ada yang berniaga keropok, batik, barangan tembaga atau pun emas berpeluang menjana pendapatan lebih pada musim cuti sekolah dan perayaan kerana ramai pelancong luar yang datang bercuti akan singgah di Pasar Payang.

"Dengan pelaksanaan PKPP ini, ia membolehkan peniaga di pasar ini menarik nafas lega apabila pengunjung semakin meningkat," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di pasar berkenaan hari ini.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO GHAZALI KORI
ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang. FOTO GHAZALI KORI

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, dia yakin jumlah pengunjung meningkat berikutan kemasukan pelancong yang ramai ke negeri berkenaan.

"Selain pengunjung luar Terengganu, pengunjung dalam kalangan perantau yang mengambil kesempatan untuk pulang bercuti hari raya di kampung masing-masing juga ramai," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan pasar berkenaan sesak mula antara 11 pagi hingga 2 petang dengan kehadiran ramai pengunjung.

Peniaga juga dilihat tidak menang tangan melayani pelanggan, malah kedai makan juga penuh menyebabkan pelanggan terpaksa beratur untuk mendapatkan tempat duduk yang terhad kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kedai makan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 7:14 PM