PENIAGA dan kakitangan MBKT bergotong-royong membersihkan sampah sarap di hadapan Pasar Kedai Payang 2 (PKP2) di Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
PENIAGA dan kakitangan MBKT bergotong-royong membersihkan sampah sarap di hadapan Pasar Kedai Payang 2 (PKP2) di Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


PENIAGA Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) sudah mula berpindah ke Pasar Kedai Payang 2 (PKP2) hari ini susulan arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menetapkan 31 Julai ini sebagai tarikh akhir PBKP beroperasi.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, sehingga kini sebanyak dua peratus peniaga sudah berpindah ke PKP2 manakala sebahagiannya sudah beroperasi bermula Rabu lalu.

“Tiga kedai makan mula beroperasi di PKP2 manakala 31 kedai makan lagi dalam proses berpindah dan difahamkan lebih 800 peniaga di PBKP akan mula berpindah pada Ahad ini.

“Peniaga kini sedang menaik taraf kedai masing-masing mengikut keperluan terutama kedai emas bagi memastikan keselamatan barang jualan di dalam kedai,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Membersih PKP2 di Kuala Terengganu, hari ini.

Peniaga, Farid Mohd Nor, 40, berkata, dia mula berpindah sejak minggu lalu dan tidak semua barang niaganya iaitu pakaian dapat dipindahkan ke PKP2.

“Hanya pakaian yang mempunyai permintaan akan dibawa ke PKP2 manakala selebihnya disimpan di rumah.

“Perasaan sedih memang ada ketika keluar dari kedai di PBKP itu memandangkan sudah 20 tahun saya berniaga di situ selain mempunyai pelanggan tetap sendiri.

“Memang sayang dengan kedai lama, tetapi pada masa sama saya teruja untuk berniaga di kedai baru.

“Biarpun lot kedai baru ini sempit berbanding kedai lama di PBKP, ia tetap memberi keselesaan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan seperti biasa dan berharap sambutan terhadap PKP2 yang berkonsep moden itu mampu menarik ramai pelanggan,” katanya.

Bagi Ahmad Syukri Abdullah, 48, dia memindahkan barang niaga secara beransur-ansur kerana semua peniaga sudah dimaklumkan tarikh akhir pemindahan ke PKP2 sebelum ini.

“Ada peniaga tidak berpindah lagi kerana sedang menjalankan pengubahsuaian kedai mengikut kesesuaian perniagaan dijalankan.

“Pada 1 Ogos ini, semua peniaga akan menjalankan perniagaan di PKP2 manakala PBKP akan ditutup sepenuhnya dan tiada sebarang perniagaan dijalankan di situ nanti termasuk jualan durian di kaki lima.

“Kami berpuas hati dengan kedai sementara ang disediakan di PKP2 itu dan harapan kami orang ramai terus memberi sokongan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan di PKP2 itu,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Pasar Payang dan Bazar Warisan (PPPBW).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 9:18 PM