Amir Abd Hamid dan Siti Norhidayah Mohd Yunus


Kuala Lumpur: Orang ramai menyerbu reruai The New Straits Times (M) Sdn Bhd (NSTP) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, bagi mendapatkan pelbagai tawaran istimewa, hari ini.

Pengurus Pembangunan Perniagaan & Projek Khas NSTP, Tengku Kaifi Mirza Tuan Cherit berkata, antara yang mendapat sambutan adalah tawaran akhbar digital apabila ramai mengambil kesempatan membuka akaun langganan e-paper.

Menurutnya, NSTP menawarkan akhbar digital percuma untuk seminggu dengan pengunjung boleh memilih satu daripada ketiga-tiga akhbar terbitannya sama ada Harian Metro (HM), Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST)

"Jika di luar, harga jualan akhbar digital adalah RM5.40 untuk seminggu. Jadi kepada semua pengunjung PBAKL diharapkan dapat hadir ke reruai NSTP bersama-sama menyokong pembelian akhbar digital NSTP dan banyak hadiah menarik ditawarkan.

"Menariknya, untuk satu akaun yang berdaftar, ia boleh dikongsi bersama tiga pengguna lain dan boleh baca e-paper seawal jam 12 tengah malam setiap hari," katanya ketika ditemui, di sini.

TENGKU Kaifi (kiri) membantu pengunjung yang berminat melanggan akhbar keluaran NSTP diedarkan secara digital. FOTO Rohanis Shukri
TENGKU Kaifi (kiri) membantu pengunjung yang berminat melanggan akhbar keluaran NSTP diedarkan secara digital. FOTO Rohanis Shukri

Beliau berkata, sepanjang lima hari ini, reruai NSTP menerima ramai pengunjung untuk mengetahui pelbagai maklumat dan tawaran yang disediakan.

Menurutnya, sepanjang penganjuran PBAKL 2024 hingga 2 Jun depan, naskhah akhbar percuma turut diedarkan kepada pengunjung.

"Tujuan pengedaran percuma naskhah ini bagi menggalakkan generasi baru terutama pelajar untuk membaca akhbar.

"Mungkin ramai remaja tak baca akhbar, jadi dengan cara ini mereka akan lebih terdedah sekali gus mencetuskan kembali minat membaca akhbar," katanya.

Menurutnya, selain akhbar digital, NSTP turut menawarkan langganan akhbar fizikal secara tahunan dan pengunjung yang mendaftar akan diberikan barangan cenderahati istimewa.

Katanya, pembelian barangan keluaran NSTP seperti novel juga akan diberikan hadiah percuma iaitu Beg Biskut Julie's yang ditaja Julie's Manufacturing Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 3:55 PM