RERUAI NSTP di PBAKL. FOTO Hairul Anuar Rahim
RERUAI NSTP di PBAKL. FOTO Hairul Anuar Rahim
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Mengembalikan semula budaya membaca akhbar khususnya keluaran The New Straits Times Press (NSTP) menjadi matlamat utama penyertaan NSTP dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Pengurus Besar Jabatan Pengedaran Akhbar NSTP M Prakash berkata, permintaan bagi akhbar terbitan NSTP masih menggalakkan dengan setiap hari naskhah akhbar Berita Harian (BH), Harian Metro (HM) dan New Straits Times (NST) yang dijual di sini laris dalam masa singkat.

"Saya melihat permintaan pembaca terhadap akhbar fizikal masih ada dan tinggi. Hari ini sahaja kami bawa 450 naskhah BH, NST dan HM. Dalam dua jam, kira-kira 12 tengah hari kesemua akhbar habis dijual.

"Jadi, itulah matlamat NSTP berada di PBAKL, supaya orang ramai tahu akhbar keluaran kita masih ada, mereka juga dapat mengenali jenama akhbar sekali gus membudayakan bersama budaya membaca," katanya ketika ditemui di reruai NSTP di Bilik Mawar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, PBAKL juga menjadi medan untuk mempromosikan langganan e-paper ketiga-tiga akhbar keluarannya dengan pelanggan yang mendaftar turut diberikan pelbagai hadiah misteri tajaan pelbagai syarikat antaranya Julie's Biscuit, Teh Cap Panglima dan Nestle.

"Sepanjang PBAKL ini kita sasarkan 300 pendaftaran untuk langganan e-paper (untuk sebulan) bagi ketiga-tiga akhbar di bawah NSTP. Setakat ini kita sudah capai 70 peratus langgan dan menjangkakan mampu memenuhi sasaran ini.

"Selain itu, pengunjung PBAKL yang hadir ke reruai NSTP boleh mendapatkan akhbar BH secara percuma. Sepanjang PBAKL sebanyak 16,000 naskhah BH diedarkan dengan jumlahnya setiap hari sekitar 1,600 naskhah," katanya.

Reruai NSTP turut dimeriahkan dengan 'Sesi Tandatangan Novel Remaja' bersama pemenang utama Sayembara Novel Remaja dan Kanak-Kanak BH 2017, Mazny Md Ramly.

"Saya berterima kasih kepada NSTP kerana menyediakan platform untuk penulis bersama dengan pembaca, bermesra sekali gus ruang untuk mempromosikan karya.

"Saya berharap BH dapat meneruskan sayembara penulisan sebegini, kerana ia bukan sahaja peluang untuk penulis menunjukkan bakat tetapi memperkayakan lagi khazanah sastera kanak-kanak di negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 7:32 PM