Akhbar keluaran NSTP diedarkan secara percuma kepada pengunjung di reruai The New Straits Times Press ( Malaysia ) Berhad, PBAKL 2024. FOTO Saifullizan Tamadi
Akhbar keluaran NSTP diedarkan secara percuma kepada pengunjung di reruai The New Straits Times Press ( Malaysia ) Berhad, PBAKL 2024. FOTO Saifullizan Tamadi
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Lebih 31,000 akhbar keluaran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) diedarkan kepada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, sepanjang tujuh hari program berkenaan berlangsung bermula Jumaat lalu.

Pengurus Besar Operasi Perniagaan NSTP Aswan Abd Kadir berkata, edaran akhbar keluaran NSTP itu membabitkan Harian Metro (HM), Berita Harian (BH) dan News Straits Times (NST).

Menurutnya, sepanjang tempoh sama juga, NSTP berjaya melepasi sasaran jualan RM50,000 langganan akhbar digital dan optimis angka itu akan meningkat sehingga program berkenaan berakhir Ahad ini.

"Setiap hari kita mengedarkan 4,000 naskah tiga akhbar keluaran NSTP kepada pengunjung PBAKL. Setakat ini juga, akhbar digital kita sudah mencapai sasaran dan kita juga ada promosi untuk pelajar dan penuntut universiti yang mendaftar akhbar digital dengan harga RM31.80 untuk setahun.

"Pelajar boleh menunjukkan kad pelajar dan guru juga boleh menjadi wakil untuk pelajar sekolah (untuk promosi e-paper berkenaan)," katanya ditemui di reruai NSTP.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Print Tower Sdn Bhd (PTSB) Luqman Adrine Jaafar dan Pengurus Pembangunan Perniagaan & Projek Khas NSTP Tengku Kaifi Mirza Tuan Cherit.

Menurut Aswan, NSTP juga menawarkan akhbar digital percuma selama seminggu dengan pengunjung boleh memilih satu daripada tiga akhbar terbitan NSTP.

"Setakat ini, jualan di reruai kita memberangsangkan dan jualan buku (keluaran NSTP) seperti 'Lat The Early Series', 'Tunku In His Own Words' dan 'Dedikasi & Integriti Tun Abdul Razak 1922-1976' mencatat jumlah kira-kira RM10,000.

"Jumlah itu tidak termasuk jualan buku lain dan saya percaya, selepas ini jualan akan meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 5:09 PM