PENGUNJUNG membeli buku keluaran kumpulan NSTP. FOTO Aizuddin Saad
PENGUNJUNG membeli buku keluaran kumpulan NSTP. FOTO Aizuddin Saad
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 menjadi platform untuk The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) memperkenalkan perkhidmatan sistem arkibnya iaitu KLIK yang menyediakan muat turun digital bahan berasaskan akhbar keluarannya.

Penyertaan kali pertama KLIK, NSTP pada PBAKL 2024 menyasarkan golongan termasuk penyelidik, penerbit buku, karyawan dan pelajar yang terbabit dalam kajian lapangan atau projek khusus berkaitan dengan bahan arkib dan sejarah.

Penolong Pengurus Jualan Digital KLIK,NSTP, Shamsul Niza Shamsuddin berkata, reruai KLIK NSTP menawarkan promosi bagi perkhidmatan langganan arkib sehingga lebih 30 peratus.

"Bagi pelajar yang melanggan KLIK, mereka akan menikmati penjimatan sebanyak 33 peratus dengan yuran dikenakan adalah RM30.

"Dengan bayaran serendah RM30, pelajar yang melanggan akan dapat satu sesi penyelidikan di KLIK atau boleh datang terus ke pejabat (KLIK) di NSTP dan muat turun 30 bahan arkib NSTP sebagai rujukan.

"Selain itu, bagi pengunjung PBAKL yang lain, mereka hanya perlu membayar langganan RM50 dan akan dapat tawaran sebagaimana untuk pelajar," katanya ketika ditemui di Reruai KLIK, NSTP, di PBAKL, hari ini.

Menurut Shamsul Niza, selain menawarkan perkhidmatan arkib, KLIK NSTP turut menjual siri buku mewah keluaran NSTP antaranya Lat The Early Series Road To Nationhood Malaysia 1941-1966, Tunku In His Own Words dan Dedikari & Integriti Tun Abdul Razak 1922-1976.

Katanya, pengunjung yang melayari media sosial KLIK dan menekan butang 'like' akan turut diberikan cenderahati eksklusif.

Mengenai sambutan di reruai KLIK, NSTP sepanjang tiga hari PBAKL berlangsung, katanya, kehadiran orang ramai sangat mengujakan dengan kebanyakannya ingin mendapatkan perincian lanjut mengenai perkhidmatan arkib yang disediakan.

"Mungkin ada yang tidak ketahui ada perkhidmatan muat turun arkib bahan terbitan NSTP yang disediakan, jadi ini platform yang sangat baik untuk kami ketengahkan pelbagai bahan yang ada.

"Diharapkan KLIK juga dapat mengambil bahagian dalam PBAKL akan datang dan menawarkan pelbagai aktiviti lebih menarik untuk pengunjung," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan KLIK, orang ramai boleh melayari laman web klik di www.klik.com.my atau e-mel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 5:39 PM