PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan edisi surat khabar kumpulan NSTP secara digital secara percuma sempena PABKL. FOTO Aizuddin Saad.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan edisi surat khabar kumpulan NSTP secara digital secara percuma sempena PABKL. FOTO Aizuddin Saad.
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Reruai The New Straits Times (M) Sdn Bhd (NSTP) yang menawarkan pelbagai aktiviti dan tawaran menarik sepanjang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-41, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, mendapat sambutan menggalakkan pencinta buku yang juga penggemar akhbar keluarannya.

Seperti PBAKL tahun lalu, dalam tempoh dua jam, 3,000 naskhah akhbar keluaran NSTP iaitu Berita Harian (BH), Harian Metro (HM) dan New Straits Times (NST) yang diedarkan secara percuma hari ini selesai diagihkan, malah ramai yang turut mengunjungi reruai NSTP di HL 20B dan HL20C, Dewan Tun Hussein Onn untuk membuka akaun langganan e-paper akhbar keluaran NSTP.

Pengurus Pembangunan Perniagaan & Projek Khas NSTP, Tengku Kaifi Mirza Tuan Cherit berkata, PBAKL 2024 adalah ruang terbaik untuk NSTP mempromosikan pelbagai perkhidmatan, tawaran baharu dan memperkenalkan jenama akhbar keluarannya secara dekat terus kepada pembaca.

Beliau berkata, pengunjung PBAKL yang kebanyakannya datang bersama keluarga dan merangkumi pelbagai lapisan umur turut menjadikannya satu kelebihan kepada NSTP untuk menarik pembaca akhbar baharu.

"Setakat hari pertama PBAKL semalam, sambutan amat menggalakkan. Malah, untuk semalam, sasaran harian kita untuk jualan langganan e-paper juga turut tercapai. Untuk e-paper, NSTP menawarkan pakej yang pelbagai, daripada seminggu, sebulan, tiga bulan, enam bulan dan setahun. Ini membolehkan pelanggan mencuba terdahulu pakej yang dikira sesuai (dengan mereka).

"Jadi, mereka yang mendaftar sepanjang PBAKL ini, mereka akan diberikan percuma (langganan) selama seminggu, boleh pilih satu daripada akhbar keluaran NSTP. Menariknya, untuk satu akaun yang berdaftar, ia boleh dikongsi bersama tiga 'pengguna' yang lain dan boleh baca e-paper seawal jam 12 tengah malam setiap hari," katanya ketika ditemui di reruai NSTP, di sini, hari ini.

Tambahnya, pada PBAKL tahun ini, NSTP menyasarkan pembelian e-paper sebanyak RM50,000, iaitu jualan langganan akhbar itu kepada lebih 9,000 pembaca.

"Selain akhbar digital, kita turut tawarkan langganan akhbar fizikal secara tahunan. Bagi yang mendaftar di sini, tawaran harganya jauh lebih murah, iaitu RM344 bagi pembelian akhbar Isnin hingga Jumaat, sementara RM500 untuk langganan setahun bagi Isnin hingga Ahad.

"Menariknya, pengunjung yang mendaftar akan diberikan barangan cenderahati istimewa NSTP seperti payung dan topi secara percuma," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang ingin mendapatkan barangan cenderahatiAnugerah Bintang Popular BH (ABPBH) boleh mengunjungi reruai itu bagi mendapatkannya dengan harga yang berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:40 PM