Pelajar meraikan kejayaan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Perkarangan Masjid Hidayah Kampung Banggol Mempelam. FOTO GHAZALI KORI
Pelajar meraikan kejayaan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Perkarangan Masjid Hidayah Kampung Banggol Mempelam. FOTO GHAZALI KORI
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Lebih 100 pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu, di sini bersama ibu bapa masing-masing berhimpun di pekarangan Masjid Al-Hidayah, Kampung Banggol Mempelam, Serada untuk meraikan kejayaan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Majlis tidak ubah seperti kenduri kahwin apabila pelbagai hidangan dibawa setiap keluarga pelajar untuk meraikan hari bersejarah itu.

Tengku Adam Qaeis Tengku Azman, 18, yang memperoleh 12A berkata, dia sangat gembira diraikan ibu bapa dalam majlis itu yang sudah dirancang sejak seminggu lalu.

"Alhamdulillah, saya tidak sangka suasana begitu meriah dengan kehadiran ibu bapa di masjid ini selepas bersepakat untuk mengadakan majlis ini.

"Dengan keputusan ini, saya rancang untuk sambung pengajian dalam bidang perubatan di Mesir," katanya ketika ditemui hari ini.

Rakannya, Nur Farah Farisah Mohd Faizal, 18, yang turut memperoleh 12A berkata, sambutan itu cukup berbeza apabila diraikan di masjid.

"Biasanya selepas mendapat keputusan SPM, pelajar akan diraikan di sekolah namun kali ini sangat berbeza.

"Alhamdulillah, saya gembira dan selepas ini rancang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau sekiranya memperoleh tawaran yang lebih baik, saya akan mempertimbangkannya," katanya.

Untuk rekod, seramai 17 pelajar SM Imtiaz Yayasan Terengganu mencipta sejarah apabila memperoleh 12A dalam SPM 2023 yang diumum hari ini, manakala 11 pelajar mendapat 11A, diikuti 15 orang (10A) dan 17 orang (9A).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 2:29 PM