Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Seramai 233 calon SPM yang terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu dipindahkan ke tiga sekolah baharu bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan awam pada Rabu ini dengan selesa.

Pengetua Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah) Kuala Berang, Mazelin Ali berkata, semua calon berkenaan membabitkan tiga sekolah yang dilanda banjir di Kuala Berang sejak Sabtu lalu.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, seramai 131 calon SPM adalah dari SMA Mahmudiah, 63 calon Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang dan 39 calon Madrasah Moden Hulu Terengganu.

"Mereka dipindahkan ke tiga sekolah berasingan, pelajar SMA Mahmudiah berpindah ke Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, Kuala Terengganu; calon SM Imtiaz ke SM Imtiaz Kuala Terengganu di Serada manakala pelajar Madrasah Moden berpindah ke Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.

"Pelajar SM Imtiaz berpindah ke sekolah berkenaan pada 11.30 malam tadi manakala calon SPM SMA Mahmudiah dan Madrasah Moden berpindah ke sekolah baharu pada 12.30 tengah hari tadi.

Seramai 82 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh menaiki trak polis untuk dipindahkan ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh Baru berikutan sekolah itu dinaiki air di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Seramai 82 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh menaiki trak polis untuk dipindahkan ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh Baru berikutan sekolah itu dinaiki air di sini hari ini. FOTO BERNAMA

"Semua calon yang dipindahkan itu akan mengambil peperiksaan SPM bermula Rabu ini di pusat peperiksaan baharu, bagaimanapun apabila banjir kembali reda dan sekolah pulih sepenuhnya, calon berkenaan akan kembali semula ke sekolah mereka.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terbabit dengan pantas dalam menangani perkara ini terutama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dalam memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan awam itu dengan tenang dan selesa," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi calon yang terkesan emosi mereka, kaunselor sekolah, daerah dan JPNT sentiasa berusaha sepanjang masa bagi memastikan pelajar dapat menduduki ujian itu dengan baik dan selamat.

"Sepanjang masa kaunselor sekolah, daerah dan jabatan berusaha membantu semua calon termasuk yang terkesan emosi dapat menduduki peperiksaan yang berbaki sehari lagi dengan baik dan selamat," katanya.

Semalam semua calon SPM daripada buah sekolah itu terpaksa dipindahkan menggunakan bot secara bergilir-gilir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu selepas asrama dihuni mereka dinaiki air lebih dua meter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 8:52 PM