GELAGAT calon SPM 2018 Abdullah Mazlan (tiga kiri) bersama rakan ketika menerima keputusan di SMKA Syeikh Abdul Malek hari ini. FOTO Ghazali Kori
GELAGAT calon SPM 2018 Abdullah Mazlan (tiga kiri) bersama rakan ketika menerima keputusan di SMKA Syeikh Abdul Malek hari ini. FOTO Ghazali Kori
Fitri Nizam


TERENGGANU mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dengan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.90.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata, walaupun GPN yang diperoleh kekal seperti tahun lalu, ia melepasi sasaran ditetapkan jabatan iaitu 4.85.

Beliau berkata, Terengganu turut mencatat peningkatan bagi pencapaian layak SPM 2018 dengan 90.04 peratus berbanding 88.50 peratus pada 2017, manakala 36 sekolah mencapai 100 peratus layak SPM berbanding 32 sekolah tahun sebelumnya.

“Ini adalah kejayaan tertinggi untuk Terengganu dan kita berpuas hati dengan pencapaian semasa.

“Kita mensasarkan 10 calon mendapat semua A+ tetapi hanya empat sahaja yang berjaya, manakala bilangan yang mendapat semua A kekal seramai 272 orang dan semua A termasuk A+ (276 orang),” katanya ketika pengumuman keputusan SPM 2018 peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat.

Shafruddin turut mengumumkan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu sebagai sekolah terbaik di negeri ini, diikuti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Batu Rakit; SM Sains Sultan Mahmud; SM Sains Setiu dan SM Sains Kuala Terengganu.

Katanya, empat pelajar pelajar terbaik SPM 2018 negeri ialah Muhammad Hilman Nor Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu yang mendapat 11A+, manakala Nurin Batrisyia Mohd Azmi (11A+), Amirah Husna Abdul Kadir (9A+) dan Nur Atiqah Syuhadah Hamdan (9A+).

Katanya, bagi calon berkeperluan khas pula, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Abang, Dungun, Ahmad Shahir Safwan Ahmad Sabri yang mengalami masalah penglihatan berjaya memperoleh keputusan cemerlang iaitu 1A+, 4A, 3B+, 1B, 1C+ dan 1C.

Dalam pada itu, beliau berkata, pencapaian calon di luar bandar mengikut GPN menurun sebanyak 0.05 apabila mencatatkan 5.11 tahun ini berbanding 5.06 pada 2017.

Seramai 19,086 calon menduduki SPM 2018 di Terengganu berbanding seramai 20,015 calon pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 3:40 PM