PELAJAR SMA Mahmudiah, Hulu Terengganu hanya berpakaian biasa susulan baju serta peralatan persekolahan mereka dihanyutkan banjir. FOTO Bernama
PELAJAR SMA Mahmudiah, Hulu Terengganu hanya berpakaian biasa susulan baju serta peralatan persekolahan mereka dihanyutkan banjir. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Terengganu: Tindakan pantas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu memindahkan 319 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ke sekolah lain sebagai pusat peperiksaan baharu apabila pusat peperiksaan asal mereka terjejas akibat banjir, amat dihargai ibu bapa terbabit.

Meskipun agak terkilan dan sedih kerana dipindahkan ke sekolah lain yang jaraknya lebih jauh, ibu bapa akur itu adalah keputusan terbaik dalam memastikan anak mereka dapat menduduki peperiksaan dengan lancar dan selesa.

Noriah Ngah, 47, berkata sebaik sahaja mendapat maklumat Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Hulu Terengganu di Kuala Berang dilanda banjir besar pada Ahad lalu, hatinya berdebar memikirkan nasib anaknya, Muhammad Akram Al-Amin Sa'ari Anuar, 18.

"Ibu mana yang tak runsing kerana anak akan menduduki SPM dalam tempoh tidak sampai 50 jam lagi ketika itu. Perasaan bercampur baur kerana melihat kesungguhannya belajar selama ini, pasti dia mengharapkan keputusan yang cemerlang.

"Tidak lama selepas itu, anak hubungi saya memaklumkan kesemua calon akan dipindahkan ke SMI Kuala Terengganu di Serada. Walaupun gusar kerana persekitaran asrama dan sekolahnya pasti tidak sama, saya tetap berfikiran positif kerana anak masih berpeluang menduduki peperiksaan di tempat yang lebih selamat," katanya kepada Bernama hari ini.

Operasi pemindahan semua 319 calon SPM dari empat sekolah di dua daerah (tiga di Hulu Terengganu dan satu di Kemaman) itu dilaksanakan dengan kerjasama pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi seperti bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Daripada jumlah itu 131 ialah pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah yang dipindahkan ke SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu; 63 pelajar SM Imtiaz Hulu Terengganu dipindahkan ke SM Imtiaz Kuala Terengganu; dan 41 calon Madrasah Moden Hulu Terengganu dipindahkan ke SMA Khairiah di Kuala Terengganu, manakala di Kemaman pula, 84 calon SMK Air Putih kini dipindahkan ke SMK Cheneh Bharu.

Sementara itu seorang bapa Saari Zakaria, 54, berharap pemindahan sementara itu akan memberi peluang terbaik kepada anaknya, Nur Nasuha, 18, untuk meneruskan perjuangan dalam SPM hari ini.

"Memang emosinya agak terganggu dengan banjir luar jangka yang berlaku di asrama SMA Mahmudiah Ahad lepas, kemudian terpaksa pula 'menumpang' di sekolah lain dalam tempoh yang singkat.

"Saya dan isteri sentiasa berhubung dengannya untuk memberi motivasi agar tidak terlalu terkesan dengan bencana kali ini," katanya yang tidak memberi sebarang tekanan kepada anaknya itu kerana faham cabaran luar biasa yang dihadapi calon SPM 2021.

Saari berkata, antara cabaran mereka termasuk mengikuti pembelajaran secara atas talian hampir dua tahun, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan 'diwajibkan' tinggal di asrama sejak sebulan lepas susulan permintaan sekolah agar calon dapat mengulang kaji pelajaran secara lebih intensif.

Sementara itu tinjauan Bernama di SMA Atas Sultan Zainal Abidin mendapati semua 131 mangsa banjir dari SMA Mahmudiah hanya berpakaian biasa kerana uniform sekolah gagal diselamatkan dalam banjir besar yang melanda asrama mereka Ahad lalu.

Nor Nadia Iman Ashaari, 18, berkata, perasaannya sangat terganggu kerana tidak dapat bertemu ibu bapa seperti mana calon SPM yang lain dan lebih menggusarkan apabila tidak dapat menolong keluarga membersihkan rumah selepas banjir melanda kampungnya.

"Semalam, ada telefon dan minta mereka doakan saya, emak janji akan baca Yasin dan solat hajat agar semuanya berjalan lancar," katanya yang berazam mahu melakukan yang terbaik dalam peperiksaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 2:49 PM