AMANINA (kanan) bersama pelajar cemerlang yang lain.
AMANINA (kanan) bersama pelajar cemerlang yang lain.

Kuala Terengganu: Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Imtiaz Besut, bukan saja menghafal 30 juzuk al-Quran, malah menjadi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu apabila berjaya memperoleh 11 A+ dalam peperiksaan itu yang diumumkan, semalam.

Amanina Ayunni Ahmad Alawi, 18, antara enam pelajar SPM negeri ini yang berjaya memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran diambil.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hadiah ketiga untuk kedua ibu bapanya selepas dia mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Saya sangat gembira kerana berjaya mencapai sasaran untuk memperoleh semua A+ dalam mata pelajaran yang diambil.

“Tiada rahsia atau tip tertentu yang saya gunakan selain memberi tumpuan ketika sesi pembelajaran dan mengulang kaji secara berterusan tanpa jemu.

“Dorongan ibu bapa dan guru menjadi kekuatan kepada saya menggagahkan diri untuk sentiasa mengulangkaji pelajaran selain mengamalkan sistem pembelajaran secara berkumpulan dan sesi perbincangan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media pengumuman keputusan SPM 2014 Terengganu di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di sini, semalam.

Amanina Ayunni berasal dari Kampung Padang Layang, Kota Bharu, Kelantan kini sedang mengikuti Kursus Intensif Bahasa Jepun dalam persiapan melanjutkan pelajaran ke negara matahari terbit itu dalam jurusan kejuruteraan kimia.

Nabilah Fatini Che Mohd Apandi, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai berkata, kejayaannya memperoleh 9 A+ itu diharap menjadi contoh kepada adiknya, Mohd Hafizuddin, 17, yang bakal mengambil SPM pada tahun ini.

“Saya belajar bersungguh-sungguh di dalam serta luar kelas sebelum ini dan kejayaan cemerlang dalam SPM ini saya hadiahkan untuk menggembirakan kedua ibu bapa selain menjadi pembakar semangat adik yang akan menduduki SPM tahun depan.

“Rahsia di sebalik kejayaan ini adalah kerap mengulang kaji pelajaran di rumah selain sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan keluarga,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 10:33 AM