AB Rauf (tengah) bersama pelajar yang menyertai program pendidikan teknologi digital di MITC hari ini. FOTO Ihsan YBR.
AB Rauf (tengah) bersama pelajar yang menyertai program pendidikan teknologi digital di MITC hari ini. FOTO Ihsan YBR.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 270 pelajar di Melaka menyertai Program Future Tech bagi meningkatkan kemahiran asas robotik serta mengintegrasikan teknik pengaturcaraan melalui konsep tenaga lestari.

Yayasan Bank Rakyat (YBR), dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan program itu

turut membabitkan 20 guru dan dijalankan selama tiga hari dua malam.

Menurutnya, objektif program itu adalah untuk meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kecekapan terhadap pengaturcaraan, mengaplikasikan kemahiran 'Computational Thinking' serta 'Internet of Things' dalam kalangan peserta melalui modul robotik, dron dan solar.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad.

Sementara itu Ab Rauf berkata, pihaknya berterima kasih kepada YBR kerana menaja program pendidikan teknologi digital itu.

"Program itu diharap dapat menjadi pemangkin transformasi masyarakat luar bandar ke arah teknologi.

"Pada masa sama, saya berharap lebih banyak program sebegini dapat dilaksanakan sekali gus memberi impak kepada dunia digital terutamanya di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, program membabitkan pendidikan digital harus didedahkan kepada pelajar seawal sekolah

rendah bagi memastikan penguasaan ilmu berteraskan digital dapat dimaksimumkan.

Katanya, program berunsurkan robotik itu amat bersesuaian dengan perubahan teknologi yang semakin berkembang pesat serta bertepatan dengan revolusi industri 4.0 di dalam negara.

"YBR amat menitikberatkan pendidikan dan melalui program ini diharapkan pelajar mendapat sedikit pendedahan penggunaan Artificil Intelligence (AI) serta menambah minat mereka dalam pengaturcaraan robotik, dron dan solar.

"Dengan kerjasama bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ia memberi kesan positif terhadap penyertaan pelajar dalam mempelajari dan mendalami arena robotik," katanya.

Dalam majlis sama, YBR turut melancarkan Program Tuisyen Rakyat Melaka membabitkan 10 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di negeri itu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Menurutnya, usaha itu bagi membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan yang berada di sekolah di kawasan luar bandar serta sekolah yang

mempunyai ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan kelas tambahan secara percuma sebagai persiapan untuk menduduki peperiksaan.

Program Tuisyen Rakyat di Melaka membabitkan peruntukan sebanyak RM100,000 meliputi 10 sekolah di sekitar Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 5:24 PM