SYAIFUL Rizal menyerahkan replika cek Bantuan Awal Pengajian (BAP) kepada Naib Canselor UTEM, Prof Dr Massila Kamalrudin. FOTO Ihsan Yayasan Bank Rakyat
SYAIFUL Rizal menyerahkan replika cek Bantuan Awal Pengajian (BAP) kepada Naib Canselor UTEM, Prof Dr Massila Kamalrudin. FOTO Ihsan Yayasan Bank Rakyat
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan inisiatif membantu penuntut kurang berkemampuan apabila menyalurkan bantuan RM100,000 kepada 100 pelajar B40 Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka bagi meneruskan pengajian.

Pengurus Besarnya Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pihaknya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membantu mereka yang memerlukan dalam mendapatkan pendidikan lebih baik.

"Saya percaya melalui bantuan ini, sedikit-sebanyak dapat menyuntik semangat dan motivasi penuntut terbabit untuk terus mengorak langkah bagi mengubah nasib keluarga kepada kehidupan lebih baik serta mencipta kejayaan masa hadapan," katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan Bantuan Awal Pengajian (BAP) YBR dan merasmikan Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) yang membekalkan kelengkapan kepada penuntut serta perpustakaan UTeM.

Majlis penyerahan replika cek BAP itu disaksikan Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif; Timbalan Ketua Pustakawan, Siti Saluwa Jamal; Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin serta Pengurus Serambi Ilmu Rakyat, Zatul hasanah Mohd Radzhuan.

Mengenai SIR Corner, Syaiful Rizal berkata, ia diharap dapat meningkatkan carian ilmu tanpa sempadan dan alternatif kepada penuntut untuk mencari sumber rujukan dalam penghasilan tesis atau tugasan yang diberikan sepanjang tempoh pengajian.

"Inisiatif SIR Corner menjadi salah satu medan pemerkasaan pendidikan dalam merealisasikan visi YBR yang berteraskan pendidikan serta menjadi kelebihan YBR berbanding yayasan lain," katanya.

Tahun lalu, sebanyak 20 institut pengajian tinggi terpilih menerima SIR Corner dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000.

YBR juga memperuntukkan RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital daripada pihak pembekal yang bertujuan menggalakkan tabiat membaca kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 1:59 PM