GAMBAR hiasan. FOTO Faiz Anuar
GAMBAR hiasan. FOTO Faiz Anuar
Redzuan Muharam


Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakar sejarah dengan memenangi dua anugerah dalam beberapa kategori yang dipertandingkan dalam Gala Dinner, 5th British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) malam tadi.

UiTM dinobatkan sebagai pemenang anugerah UK-Malaysia Education Institutional Partnership of The Year hasil kerjasama dengan Cardiff Metropolitan University.

UiTM juga menerima tiga daripada keseluruhan lapan pencalonan, dan membawa pulang dua anugerah utama.

"UiTM turut dianugerahkan penarafan satu bintang Energy Management Gold Standard (EMGS).

"Ia (pengiktirafan) atas usaha hijau dan penjimatan tenaga yang dijalankan oleh universiti," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Majlis makan malam gala tahunan Anugerah Kecemerlangan Perniagaan anjuran BMCC adalah acara terbesar dan paling berprestij.

Acara berkenaan dihadiri tetamu terhormat termasuk eksekutif korporat, profesional, dan pemimpin kerajaan.

Anugerah itu diperkenalkan pada 2018, bertujuan meraikan hubungan perniagaan yang kukuh antara United Kingdom (UK) dan Malaysia dengan mengiktiraf syarikat terbaik dari kedua-dua negara dalam pelbagai kategori pencapaian.

"Menerusi kejayaan itu, UiTM terus menunjukkan komitmen dan kecemerlangannya dalam bidang pendidikan serta usaha pemeliharaan alam sekitar.

"Anugerah itu adalah satu penghormatan dan pengiktirafan atas segala usaha gigih yang dilakukan oleh universiti untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan melestarikan penggunaan tenaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 2:56 PM