DATUK Seri Dr Noraini Ahmad.
DATUK Seri Dr Noraini Ahmad.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini mengadakan kerjasama dengan British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) bagi membolehkan syarikat-syarikat dari United Kingdom (UK) yang berpusat di negara ini memberi peluang kepada graduan tempatan menimba pengalaman di syarikat berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan khas bersama 24 ahli BMCC yang berlangsung secara maya hari ini.

Menurutnya, latihan pekerjaan itu membabitkan pelbagai sektor yang berbeza-beza antaranya aeroangkasa dan pertahanan, automatif, pembinaan dan kejuruteraan, pengangkutan dan logistik, perkhidmatan kewangan dan pembuatan.

Katanya, beliau percaya pendedahan ini sangat penting bagi penuntut dan siswazah dalam memperluas perspektif mengenai industri, sekali gus memberikan pengalaman bidang pekerjaan serta persekitaran kerja yang berbeza.

"Inisiatif ini sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

"Sebanyak RM150 juta diperuntukkan kepada KPT untuk melaksanakan program kemajuan kerjaya atau dikenali sebagai Penjana-KPT-CAP yang memberi tumpuan untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan.

"Perbincangan lanjut akan diadakan KPT dan BMCC untuk memperincikan program ini termasuk perkara-perkara lain yang boleh diteroka bersama bagi memastikan penuntut daripada kedua-dua negara mendapat manfaat dari kerjasama diadakan ini," katanya melalui akaun Facebooknya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:39 PM