PELUMBA BMCC bergambar kenangan selepas sesi latihan.
PELUMBA BMCC bergambar kenangan selepas sesi latihan.

Bagan Serai: Tiga peserta tempatan dari Bukit Merah Cycling Club (BMCC) mengharap tuah tempat sendiri untuk mencapai kejayaan dalam saingan pada 29 Julai ini.

Peserta kategori Veteran Lelaki Nordin Hassan, 51, berkata, kelebihan beraksi di tempat sendiri membuatkan dia dan rakan sepasukan yang mewakili BMCC menyasarkan podium untuk kategori dipertandingkan.

Dia yang juga pesara tentera berkata, kelebihan itu akan digunakan sebaiknya berikutan lebih memahami keadaan dan tahap kesukaran trak di sini.

“Insya-Allah berdasarkan prestasi dan stamina semasa, saya menyasarkan podium untuk kategori ini.

“Biarpun ini penyertaan pertama dalam kejohanan anjuran Harian Metro ini, kelebihan beraksi tempat sendiri memberi sedikit kelebihan biarpun sedar akan persaingan hebat yang bakal dilalui nanti,” katanya.

Seorang lagi peserta kategori Junior Master, Firman Halim 43, berkata, dia tidak sabar untuk turun beraksi.

“Sokongan padu rakan-rakan BMCC dan penduduk tempatan membangkitkan semangat saya untuk beraksi nanti.

“Biarpun dijangka agak sukar mencapai sasaran podium, saya ingin memberikan tentangan hebat di samping membuktikan BMCC juga mempunyai peserta yang wajib digeruni,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 10:15 AM