Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di Malaysia serta proses perbincangan dan libat urus mengenainya sudah pun bermula dengan pelbagai sektor, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Katanya, ini sebahagian daripada dasar dikaji Kementerian Ekonomi dan ia selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia ke-12 supaya nisbah hasil ekonomi yang diberi kepada pekerja dalam bentuk gaji dan pampasan meningkat daripada paras semasa iaitu sekitar 36 peratus kepada 40 peratus.

"Kita akan bawa perbincangan ini dalam forum kerajaan yang sewajarnya dalam masa yang ditetapkan nanti," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian UK-Malaysia Clean Growth Handbook di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan ingin memastikan kerangka dasar itu lebih mampan dan dapat dilaksanakan secara positif oleh semua pihak serta manfaatnya bukan hanya kepada pekerja tetapi juga kepada majikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 2:32 PM