TANGKAP layar rakaman siling bocor dalam bangunan Pejabat JPJ Kuala Lumpur di Wangsa Maju yang tular di media sosial. FOTO tular.
TANGKAP layar rakaman siling bocor dalam bangunan Pejabat JPJ Kuala Lumpur di Wangsa Maju yang tular di media sosial. FOTO tular.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Limpahan air di pejabat Unit Perdagangan, Bahagian Pelesenan Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Kuala Lumpur adalah akibat hujan lebat yang melanda ibu negara, semalam.

JPJ dalam kenyataan hari ini mengesahkan insiden terbabit yang berlaku pada 2.10 petang itu dan turut tular di media sosial.

"Hasil pemeriksaan awal dilakukan mendapati insiden itu berlaku apabila terdapat limpahan air ke dalam bangunan melalui bumbung dan siling pejabat unit akibat hujan lebat.

"Tindakan awal juga sudah diambil dengan mematikan suis elektrik di papan agihan bagi memastikan keselamatan anggota dan pelanggan JPJ," katanya.

Menurutnya, susulan insiden itu, pihaknya bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Pada masa sama, kami juga akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dalam kadar segera demi keselamatan dan keselesaan pelanggan JPJ.

"Kami juga ingin memaklumkan bahawa pengoperasian Unit Perdagangan (Pintu 4) dipindahkan ke Pintu 5 dan Pintu 2 buat sementara waktu bagi memastikan operasi unit terbabit tidak terganggu.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan akan sentiasa berusaha dan komited memastikan infrastruktur pejabat JPJ berada pada tahap terbaik," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Bahagian Pelesenan Pemandu di Pejabat JPJ Kuala Lumpur di Wangsa Maju yang terjejas akibat kebocoran siling bangunan akan ditutup sementara bagi kerja baik pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 9:15 PM