Ahmad Zahid (kiri) melawat reruai sempena lawatan ke Beifang International Education bagi menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Belia Mahir dengan Beifang International Education hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Zahid (kiri) melawat reruai sempena lawatan ke Beifang International Education bagi menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Belia Mahir dengan Beifang International Education hari ini. FOTO BERNAMA
Muhammad Yusri Muzamir


Beijing: Sebanyak 220 syarikat berpangkalan di China menawarkan tajaan pendidikan kepada lebih 5,000 pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di republik berkenaan.

Ia adalah hasil perjanjian persefahaman yang dimeterai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Belia Mahir dan Tang (M) International Education Group bersama Beifang Automotive Education Group (Beifang) serta Tang International Education Group, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia membabitkan latihan TVET dalam pelbagai bidang, antaranya automotif yang berfokuskan kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan tenaga boleh diperbaharui (REV), robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT) serta kecerdasan buatan (AI).

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, tempoh latihan yang ditawarkan adalah selama tiga bulan bagi jangka pendek, manakala jangka sederhana (enam bulan) dan jangka panjang (sehingga tiga tahun).

Kata beliau, pelajar yang mengikuti latihan itu kemudian akan diserap terus ke syarikat milik China yang melabur di Malaysia, sekali gus menjadikan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan tersedia sejurus tamat menjalani kursus terbabit.

"Selain 2,000 kuota ditawarkan Beifang, terdapat tambahan sebanyak 3,125 tempat diperoleh tadi, menjadikan 5,125 peluang yang boleh direbut pelajar Malaysia.

"Kos keseluruhan latihan jangka pendek bernilai RM30 juta ditaja sepenuhnya pihak industri berpangkalan di China, manakala Malaysia hanya akan membiayai kos penerbangan dan pengetahuan asas bahasa Mandarin yang akan disediakan Institut Malaysia-China (MCI).

"Justeru, kuota sebanyak 500 akan ditawarkan kepada pelajar Malaysia dari komuniti Cina, diikuti masyarakat India (200), Sarawak (200) dan Sabah (200) secara berperingkat hingga 2025," katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian MoU yang turut membabitkan 114 syarikat berpangkalan di China.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi GiatMara Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Setiausaha Agung yang juga Ketua Belia Mahir Mohammad Rizan Hassan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata, Beifang menerusi kerjasama itu dijadualkan menghantar peralatan latihan, termasuk enam unit kereta EV dan hidrogen ke GiatMara untuk dijadikan model bagi proses pembelajaran membaiki kereta EV dan REV.

Beliau antara lain menyifatkan kerjasama strategik itu sebagai 'game changer' untuk pelajar TVET, sekali gus muncul sebagai platform menuju ke arah gaji premium bagi lepasan kursus berkenaan.

"Kita kini ke arah itu (gaji premium bagi lepasan TVET), selain banyak syarikat kini memerlukan tenaga mahir. Gaji premium ini bukan masalah kepada mereka cuma kita perlu lihat daripada segi tahap kemahiran diperoleh.

"Ini adalah langkah proaktif yang sangat cepat dan terkehadapan. Justeru, saya berharap pelajar Malaysia akan merebut peluang mengikuti ini," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Berkaitan aspek pensijilan, Ahmad Zahid berkata, latihan berkenaan mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran yang digabungkan menjadi badan akreditasi tunggal bagi kursus berkaitan TVET.

"Majlis TVET Negara sebelum ini, sudah meluluskan badan akreditasi tunggal yang akan membuat pengiktirafan, sama ada di peringkat sijil atau diploma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 12:13 PM