MIGUEL Angel Lopez. FOTO ASYRAF HAMZAH
MIGUEL Angel Lopez. FOTO ASYRAF HAMZAH
AFP

Paris: Miguel Angel Lopez dari Colombia digantung daripada menyertai aktiviti berbasikal selama empat tahun kerana memiliki dan menggunakan bahan terlarang sebelum Giro d'Italia 2022, kata Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Atlet berusia 30 tahun itu adalah salah seorang pelumba basikal paling disayangi di Colombia dan digelar 'Superman' selepas dia membelasah sekumpulan pencuri basikal ketika zaman remajanya.

Tetapi semalam Lopez yang menduduki tempat ketiga dalam kedua-dua Giro dan Vuelta pada 2018, diharamkan menyertai mana-mana kejohanan sehingga Julai 2027 kerana memiliki dan menggunakan bahan terlarang menotropin rawatan hormon.

"Selaras dengan Kod Anti-Doping Dunia dan Peraturan Anti-Doping UCI, tempoh penggantungan bermula pada 25 Julai 2023 dan akan terus berkuat kuasa sehingga 24 Julai 2027," kata UCI.

UCI mengenakan Lopez larangan sementara selepas bukti diperoleh daripada polis di Sepanyol dan Pertubuhan Anti-Doping Kebangsaan Sepanyol.

Pada Disember 2022, Lopez digugurkan oleh pasukan Astana, yang mendakwa dia mempunyai kaitan dengan Marcos Maynar iaitu seorang doktor Sepanyol di tengah-tengah siasatan doping yang menyebabkan Lopez ditahan di lapangan terbang Madrid.

Selepas disingkir oleh Astana, Lopez menandatangani kontrak dengan pasukan Medellin-EPM yang menyaksikannya memenangi Jelajah Colombia dan Jelajah San Juan.

Lopez menafikan sebarang kaitan dengan doping pada masa itu dan tidak pernah diuji positif sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 11:19 AM