LOGO Google di kampus syarikat itu di Mountain View, California. FOTO AFP
LOGO Google di kampus syarikat itu di Mountain View, California. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat gergasi teknologi, Google akan melabur AS$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia, merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan serta Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata, pusat data pertama Google dan Wilayah Awan Google adalah pelaburan terbesar kumpulan yang dirancang setakat ini di Malaysia – lokasi yang Google dengan bangganya sudah bertempat selama 13 tahun.

"Pelaburan ini dibina atas kerjasama kami dengan kerajaan Malaysia untuk memajukan 'Dasar Cloud First,' termasuk piawaian keselamatan siber yang tertinggi.

"Dengan pengumuman hari ini, Malaysia dan Google bekerjasama untuk memajukan usaha bersama kami dalam mencipta ekosistem yang menyokong inovasi dan membuka potensi transformasi digital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alphabet ialah syarikat induk Google.

Menurut Google, pelaburannya dijangka menyokong lebih AS$3.2 bilion (RM15.04 bilion) dalam impak ekonomi yang positif dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030.

Katanya, pusat data itu akan memperkasakan perkhidmatan digital popularnya seperti Search, Maps dan Workspace, yang digunakan setiap hari oleh berbilion individu dan organisasi di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

"Ia (pusat data itu) juga akan memainkan peranan penting dalam membolehkan Google menyampaikan manfaat Al kepada pengguna dan pelanggan di seluruh negara.

"Apabila beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 negara lain yang mengendalikan pusat data untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia," katanya.

Mengenai Wilayah Awan Google katanya, ia akan menyediakan perkhidmatan berprestasi tinggi dan latensi rendah kepada perusahaan besar, syarikat pemula dan organisasi sektor awam.

Katanya, pelanggan Google Cloud akan mendapat manfaat daripada kawalan utama yang membolehkan mereka mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi, residensi data dan piawaian pematuhan, termasuk keperluan penyimpanan data khusus.

"Wilayah awan ini akan dilengkapi dengan lokasi Dedicated Cloud Interconnect sedia ada Google Cloud di Cyberjaya dan Kuala Lumpur, yang menyediakan sambungan langsung antara rangkaian di premis organisasi dan rangkaian global Google Cloud.

"Wilayah awan Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang sedang beroperasi di seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 11:02 AM