Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengutip sebanyak RM1.031 juta hasil pembayaran tanpa tunai atau 'cashless' dalam tempoh 11 hari bermula 1 Julai lalu.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, ia membabitkan kutipan hasil sepanjang urus niaga tempahan dalam talian sama ada di pejabat atau kiosk JPJ di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM665,333 hasil kutipan di kaunter, manakala RM366,614 hasil kutipan di kiosk yang diperoleh sepanjang urus niaga tempahan dalam talian.

"Ia membabitkan urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pembayaran saman, memperbaharui cukai jalan kenderaan perdagangan, lesen vokasional (PSV/GDL), tukar hak milik dan lain-lain urusan yang tidak dapat dilakukan secara atas talian.

"Dalam tempoh berkenaan, kita menerima 1,596 tempahan janji temu secara dalam talian membabitkan urusan daripada bahagian pelesenan/kenderaan, pelesenan pemandu, penguat kuasa, kejuruteraan automotif dan kiosk.

 ZULKARNAIN Yasin semasa program pengoperasian kaunter JPJ Terengganu sepanjang tempoh Pelan Pemulihan negara di UTC.  FOTO Ghazali Kori
ZULKARNAIN Yasin semasa program pengoperasian kaunter JPJ Terengganu sepanjang tempoh Pelan Pemulihan negara di UTC. FOTO Ghazali Kori

"Semua urus niaga di pejabat dan kaunter JPJ dalam tempoh penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi adalah secara temujanji berjadual (kad) dengan kaedah pembayaran secara 'cashless'.

"Pelaksanaan secara atas talian itu dibuat secara menyeluruh di JPJ Kuala Terengganu pada 6 Julai lalu manakala di JPJ cawangan Kemaman, Besut dan UTC, semalam," katanya pada sidang media di Pejabat JPJ cawangan UTC Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Zulkarnain berkata, semua tempoh sah laku bagi laporan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom dilanjutkan sehingga 30 September depan.

Katanya, mana-mana kenderaan yang tamat tempoh LKM dalam tempoh 1 Jun hingga 31 Julai depan diberi pengecualian sehingga 30 September depan dengan syarat perlu memastikan kenderaan memiliki perlindungan insurans yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 3:53 PM