GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Samadi Ahmad


Putrajaya: Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah memandang serius cubaan segelintir rakyat Malaysia menunaikan haji tanpa visa sah.

Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah melalui satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menegaskan Kerajaan Arab Saudi menetapkan hanya individu yang memiliki visa Haji yang sah sahaja dibenarkan memasuki Makkah bagi menunaikan ibadat itu.

Menurutnya, individu yang didapati tidak memiliki visa Haji sah akan dikenakan denda SR10,000 dan dihantar pulang ke negara asal (tanpa sempat menunaikan haji) selain di senarai hitam dari memasuki negara berkenaan.

Katanya, seperti nasihat yang dikeluarkan pada 15 Mei lalu, Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah menasihati rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan haji supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan termasuk memiliki visa Haji yang sah.

"Pihak konsulat bersedia membantu rakyat Malaysia di Arab Saudi, namun bagi mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang di Malaysia atau di Arab Saudi perlu bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang yang akan dikenakan," katanya.

Kelmarin media melaporkan sepasang suami isteri memohon bantuan untuk mendapatkan kembali pasport dari pihak agensi pelancongan yang mengendalikan pakej haji menggunakan visa pelancong.

Pasangan suami isteri itu menarik diri dari mengerjakan haji selepas pihak agensi gagal menyediakan visa Haji dan berhasrat untuk pulang ke Malaysia khuatir ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Bagaimanapun, Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah berjaya membantu mendapatkan kembali pasport pasangan suami isteri itu dan memaklumkan boleh mengambilnya di pejabat konsulat pada bila-bila masa.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsulat menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di Lot 241, Al-Mualiffin Street Al Rehab District, Jeddah, Arab Saudi atau menghubungi di talian 00(966) 12 6727 740 / 6728 019 dan e-mail [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 12:24 PM