ISMAHEEL Akinade (tengah) beraksi pada perlawanan  menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
ISMAHEEL Akinade (tengah) beraksi pada perlawanan menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas membuka 'akaun' gol pertamanya dalam saingan Liga Super pada musim ini, penyerang Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade kian bersemangat buru jaringan seterusnya.

Jelas penyerang kelahiran Nigeria itu, walaupun baharu menemui sentuhan gol selepas tiga perlawanan, namun impiannya untuk muncul penjaring terbanyak skuad Penyu tidak pernah padam.

Jelas pemain berusia 30 tahun itu, hasrat untuk muncul penjaring terbanyak berputik selepas dilamar TFC daripada pasukan Kelantan United FC ketika itu sebaik tamat saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu.

Terdahulu pada aksi ketiga TFC menentang bekas skuadnya Jumaat lalu, Akinade berjaya meledak gol pendahuluan menerusi sepakan penalti ketika TFC membenam cabaran pasukan jiran 3-0 dengan dua jaringan lagi dihasilkan Nurillo Tukhtasinov dan Manuel Ott.

"Pertamanya Alhamdulillah kerana jaringan yang dinanti-nantikan akhirnya berjaya dihasilkan selepas saya gagal melakukannya dalam dua aksi terdahulu ketika berdepan Perak FC dan Penang FC.

"Sejujurnya saya begitu gembira dengan jaringan pertama itu dalam saingan Liga M ini untuk TFC biarpun melalui sepakan penalti, kerana apa yang penting gol tetap gol.

"Pada masa sama saya boleh bayangkan ia satu perasaan yang sangat indah apabila menjaringkan gol apatah lagi dapat membantu pasukan meraih tiga mata di depan penyokong sendiri sebelum rehat mengikut kalendar perlawanan antarabangsa.

"Apa yang diharapkan jaringan itu tidak terhenti di situ sahaja, saya meletakkan harapan yang tinggi ia bakal menjadi rutin untuk menjaringkan gol setiap kali saya diturunkan, lagipun saya perlu buktikan kemampuan dan membalas kepercayaan barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 12:13 PM