SATELIT kayu itu dinamakan LignoSat. FOTO Jiji Press / AFP / Japan Out
SATELIT kayu itu dinamakan LignoSat. FOTO Jiji Press / AFP / Japan Out
AFP

Tokyo: Satelit kayu pertama di dunia dibangunkan oleh penyelidik Jepun, dijadualkan dibawa ke angkasa lepas dengan roket SpaceX, pada September depan.

Setiap sisi satelit eksperimen yang dibangunkan oleh saintis di Universiti Kyoto dan syarikat pembalakan Sumitomo Forestry itu, berukuran empat inci.

Pencipta menjangkakan bahan kayu akan terbakar sepenuhnya apabila peranti berkenaan memasuki semula atmosfera Bumi.

Ia berpotensi menyediakan cara untuk mengelakkan penciptaan zarah logam apabila satelit yang tidak lagi digunakan kembali ke Bumi.

Zarah logam itu boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan telekomunikasi, kata pemaju ketika mereka mengumumkan penyiapan satelit itu, Selasa lalu.

"Satelit yang tidak diperbuat daripada logam harus menjadi arus perdana," kata Takao Doi, seorang angkasawan dan profesor khas di Universiti Kyoto, pada sidang media berkenaan.

TAKAO Doi memegang satelit kayu itu. FOTO Jiji Press / AFP / Japan Out
TAKAO Doi memegang satelit kayu itu. FOTO Jiji Press / AFP / Japan Out

Pemaju merancang untuk menyerahkan satelit itu, diperbuat daripada kayu magnolia dan dinamakan LignoSat itu, kepada agensi angkasa lepas Jepun, Jaxa, pada minggu depan.

Ia akan dihantar ke angkasa dengan roket SpaceX dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, Amerika Syarikat, pada September depan, menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Satelit itu akan dikeluarkan dari modul eksperimen ISS Jepun untuk menguji kekuatan dan ketahanannya.

"Data akan dihantar daripada satelit kepada penyelidik yang boleh menyemak tanda ketegangan dan sama ada satelit itu boleh menahan perubahan besar dalam suhu," kata jurucakap Sumitomo Forestry kepada AFP pada Rabu lalu.

Selasa lepas, roket yang membawa satelit canggih berasingan hasil kerjasama antara Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Jaxa berlepas dari California. Ia dalam misi untuk menyiasat peranan awan dalam usaha memerangi perubahan iklim.

Satelit EarthCARE itu akan mengorbit hampir 250 batu (kira-kira 402 kilometer) di atas Bumi, selama tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 12:40 PM