PENGUNJUNG merakam gambar patung panda selepas Xie Feng mengadakan sidang media di NZCBI. FOTO Reuters
PENGUNJUNG merakam gambar patung panda selepas Xie Feng mengadakan sidang media di NZCBI. FOTO Reuters
Reuters

Beijing: China akan menghantar dua panda ke Washington, kata Zoo Negara, beberapa bulan selepas zoo di Amerika Syarikat (AS) memulangkan tiga beruang itu, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara dua kuasa besar berkenaan.

Zoo Negara Smithsonian dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengalu-alukan panda bernama Bao Li dan Qing Bao itu ke zoo di Washington, menjelang akhir tahun ini.

Duta Besar China ke Amerika Syarikat (AS) Xie Feng ketika bercakap kepada pemberita di zoo itu, menggalakkan orang ramai untuk menjaga hubungan China-Amerika Syarikat (AS) sama seperti menjaga panda.

"Untuk kesejahteraan kedua-dua rakyat dan masa depan dunia, China dan AS harus memilih untuk menjadi rakan kongsi, bukan saingan.

"Panda tidak boleh distigma. Jika perlu ada sebarang perlindungan, maka marilah kita melindungi biodiversiti," kata Xie.

China menggunakan apa yang dipanggil "diplomasi panda" sejak 1972, apabila panda pertama dihantar ke AS sebagai 'hadiah', berikutan lawatan bersejarah Presiden Richard Nixon ke negara Asia itu.

Hubungan tegang antara dua kuasa besar itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan Beijing membawa pulang beberapa pandanya di AS, ke tanah air.

Ketiga-tiga panda gergasi di zoo Washington - Mei Xiang dan Tian Tian, ​​yang tiba pada 2000, dan anaknya yang berumur tiga tahun Xiao Qi Ji ("Keajaiban Kecil" dalam Bahasa Inggeris) - dibawa pulang dengan pesawat kargo ke China, November tahun lalu.

Baki panda terakhir yang berpangkalan di AS, di zoo di bandar selatan Atlanta, dijangka pulang ke China akhir tahun ini, walaupun China mengumumkan rancangan pada Februari untuk menghantar sepasang beruang itu ke Zoo San Diego.

Ketibaan baharu panda dari China ke Washington membabitkan beruang itu yang berusia dua tahun. Kedua-duanya dilahirkan dalam tempoh selang sebulan di pusat pemuliharaan di wilayah barat daya Sichuan. Ia masih tinggal dalam kemudahan berasingan di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 12:02 PM