SEJUMLAH 1,200 angka giliran sehari diagihkan kepada orang ramai yang mahu berurusan di JPJ Johor. FOTO ihsan JPJ JOHOR
SEJUMLAH 1,200 angka giliran sehari diagihkan kepada orang ramai yang mahu berurusan di JPJ Johor. FOTO ihsan JPJ JOHOR
Mohamed Farid Noh


LEBIH 3,000 pelanggan menyerbu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di Taman Daya dekat sini, sejak 18 Mei lalu sekali gus menyebabkan kesesakan.

Pengarah JPJ Negeri Johor Razali Wagiman berkata, kesesakan itu menyebabkan pihaknya terpaksa mengetatkan kawalan di pintu pagar utama dengan membenarkan hanya pelanggan yang memiliki angka giliran memasuki perkarangan agensi berkenaan.

Katanya, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa membaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan berikutan penangguhan diberikan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa.

"Memadai dengan membaharui insurans kenderaan sahaja sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan dan kelonggaran ini terpakai sehingga dimaklumkan kelak.

"Daripada lebih 3,000 pelanggan yang hadir, lebih separuh daripada jumlah itu diminta pulang dan kembali pada hari lain berikutan kita hanya mampu memproses 1,200 urusan sehari terutama di Bahagian Pelesenan Kenderaan," katanya dihubungi hari ini.

Menurut beliau, hanya pelanggan yang memperoleh angka giliran yang prosesnya dibuat secara manual sahaja dibenarkan memasuki perkarangan premis sebelum diperiksa suhu badan dan diarahkan berbaris dengan penjarakan sosial.

"Bagi menyelesaikan kesesakan ini, JPJ Johor kini beroperasi pada Jumaat dan Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari bagi menyelesaikan urusan tertunggak pelanggan.

"Pelanggan turut dinasihati ke cawangan JPJ daerah berhampiran bagi menyelesaikan urusan mereka bagi mengelakkan kesesakan dan waktu menunggu lama," katanya.

Sejak minggu lalu, orang ramai yang ingin berurusan di JPJ Johor mengeluh dan kecewa apabila diarah pulang selepas angka giliran habis diagihkan sedangkan masih ramai yang menunggu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, bagi mengelak kesesakan, orang ramai yang mahu memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu juga boleh melakukannya di pejabat pos berhampiran mahu pun laman web MyEG.

"Saya berharap orang ramai yang memerlukan khidmat JPJ dapat bertenang dan merancang jadual mereka sebaiknya supaya tidak terperangkap dengan kesesakan di kaunter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 2:39 PM