Keadaan siling yang runtuh akibat limpahan air hujan. FOTO Ihsan bomba
Keadaan siling yang runtuh akibat limpahan air hujan. FOTO Ihsan bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Hujan lebat berterusan menyebabkan siling di laluan ke pejabat Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan runtuh, tengah hari ini.

Runtuhan jam 1 tengah hari itu berlaku akibat saluran air hujan pecah dan jatuh menghempap siling sepanjang sembilan meter itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohammad Idris berkata, sebuah jentera bersama lapan pegawai dan anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 1.05 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati runtuhan itu berlaku kerana hujan lebat dan air melimpah. Saluran itu tidak dapat menampung limpahan menyebabkan ia pecah dan jatuh menghempap siling.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, pasukan bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menjalankan siasatan dan mengesahkan tiada kerosakan pada struktur bumbung atau bangunan.

Menurutnya, pihak terbabit memberi cadangan supaya membaik pulih kerosakan dan memastikan sistem elektrik selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 5:24 PM