WAN Junaidi hadir ke Majlis Meraikan Keberangkatan Jemaah Haji Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
WAN Junaidi hadir ke Majlis Meraikan Keberangkatan Jemaah Haji Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Rakyat Malaysia yang memegang visa lawatan untuk mengerjakan umrah atau melancong di Arab Saudi harus mematuhi arahan kerajaan negara itu agar tidak menyalahgunakan visa berkenaan untuk mengerjakan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, kerajaan Arab Saudi sudah mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu dan akan mengenakan hukuman berat jika sabit kesalahan.

Justeru katanya, rakyat Malaysia tidak harus terpedaya dengan pihak yang mendakwa boleh menguruskan permit haji mereka dengan menggunakan visa umrah atau pelancongan.

"Perlu diketahui, di Malaysia visa haji hanya dikeluarkan oleh dua pihak iaitu Tabung Haji yang mengeluarkan sebanyak 31,600 visa dan juga visa khas yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

"Selain daripada dua pihak itu, jangan terpedaya dengan pihak yang mendakwa boleh mengeluarkan visa haji dan kerajaan Arab Saudi sudah memberi amaran akan mengambil tindakan berat iaitu denda sebanyak 10,000 riyal (RM12,510) selain dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun jika ada yang melanggar arahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji Sarawak yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Raia Hotel, di sini, hari ini.

Kumpulan pertama bakal jemaah haji Sarawak seramai 142 orang itu berlepas ke Kuala Lumpur dengan pesawat KT70Q dan akan digabungkan dengan bakal jemaah haji Pulau Pinang untuk meneruskan penerbangan ke Jeddah dengan pesawat MH8443 pada 3.20 petang ini.

Mengulas lanjut, Mohd Naim berkata, kerajaan Arab Saudi serius dalam menangani kegiatan penipuan visa haji itu dan beliau amat berharap agar tiada rakyat Malaysia melanggar arahan itu.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan ada rakyat Malaysia terkandas di Tanah Suci selepas ditipu oleh agensi pelancongan dan umrah.

Justeru beliau meminta sesiapa yang mengalami masalah itu supaya membuat aduan kepada pegawai Tabung Haji di Makkah atau Madinah bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Mengenai laporan suami isteri terkandas di Makkah, Mohd Naim berkata, ketika ini beliau menyerahkan kepada polis dan Kementerian Pelancongan untuk menguruskannya.

"Bagaimanapun, jika mereka membuat aduan kepada Tabung Haji di Arab Saudi, kita sedia memberi bantuan kepada mereka," katanya.

Pasangan terbabit memohon bantuan selepas agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan mereka ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji menggunakan visa pelancong tidak mahu mengembalikan pasport bagi membolehkan mereka pulang ke Malaysia.

Difahamkan, agensi yang mengendalikan pakej haji itu ada hubung kait dengan kes tiga jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sabtu lalu selepas gagal menyediakan tiket balik ke Malaysia untuk jemaah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 12:21 PM