GULAM Muszaffar. FOTO Ihsan pembaca.
GULAM Muszaffar. FOTO Ihsan pembaca.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sudah sampai masanya pokok-pokok tua di sekitar ibu negara diaudit bagi memastikan tahap ketahanannya agar tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai terutama pengguna jalan raya.

Mencadangkan perkara itu, aktivis masyarakat, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, satu pangkalan data mengenai semua pokok berkenaan perlu diwujudkan bagi mengenalpasti status terkini pokok berkenaan yang kebanyakannya sudah berusia.

Katanya, ia merangkumi elemen kecacatan, kesihatan, jangka hayat serta ketahanan pokok berkenaan sesuai dengan usianya yang kebanyakannya sudah hampir 100 tahun dan memerlukan penjagaan khas.

"Apa yang kita difahamkan, ada pihak yang memeriksa pokok-pokok ini dua tahun sekali. Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, kita tidak lagi boleh bersandarkan kepada laporan berkala seperti itu.

"Perlu ada pengurusan khas untuk mengawal selia pokok-pokok ini yang kaedahnya perlu dibincangkan bersama pakar-pakar berkaitan.

"Saya pernah mencadangkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan beberapa tahun lalu mengenai keperluan ini kerana ia berisiko kepada orang ramai setiap kali hujan dan angin kuat," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat keperluan untuk mengkaji semula garis panduan pemeliharaan pokok-pokok tua di sekitar ibu kota.

Katanya, pihaknya mengenal pasti banyak pokok berusia 50 sehingga 80 tahun di sekitar ibu negara yang hanya menunggu masa untuk tumbang lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Gulam Muszaffar berkata, dengan mengambil kira status Kuala Lumpur sebagai bandaraya hijau, langkah proaktif perlu diambil segera bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang lagi pada masa depan.

Menurutnya, profil mengenai pokok-pokok ini juga sewajarnya boleh diakses oleh masyarakat umum bukan hanya sebagai makluman, tetapi persediaan sekiranya mereka berada di kawasan yang berhampiran.

"Pokok-pokok yang dikenal pasti ini juga perlu ditanda bagi membolehkan orang ramai berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 12:13 PM