CHEE Hoi Lan yang menjaga anak angkat beliau beragama islam sejak berusia dua bulan di Jalan Ipoh, Batu. FOTO arkib NSTP
CHEE Hoi Lan yang menjaga anak angkat beliau beragama islam sejak berusia dua bulan di Jalan Ipoh, Batu. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ketika isu kerakyatan dan dokumen pengenalan diri Rohana Abdullah mula diberi perhatian jabatan berkaitan, ada pihak swasta tampil untuk membantu ibunya angkatnya, Chee Hoi Lan.

Ia termasuk bantuan perubatan dan sumbangan kewangan bagi membantu warga emas berusia 83 tahun itu meneruskan kehidupan seharian.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batum Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim yang menerima banyak permohonan daripada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang perseorangan.

Katanya, setakat ini, berdasarkan perbincangan dengan Rohana dan Hoi Lan, tiga aspek akan diberikan keutamaan.

"Kita pertimbangkan bantuan daripada segi pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

"Itu saja cara membantu Rohana demi masa depan dia," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan gadis itu, hari ini.

Gulam Muszaffar berkata, sebuah syarikat sudah tampil menawarkan bantuan perubatan kepada Hoi Lan selepas pendedahan ekslusif Harian Metro mengenai kisah mereka, Jumaat lalu.

Menurutnya, satu perbincangan akan diadakan sama ada bentuk bantuan lain diperlukan seperti peralatan harian, baik pulih rumah.

Sementara itu, Rohana, 22, berkata, dia berterima kasih atas sokongan yang diberikan kepadanya dan Laoshi.

Katanya, dia tidak menjangkakan perkongsian di akhbar ini menyebabkan dirinya menjadi perhatian termasuk pimpinan tertinggi negara.

"Saya tak sangka Perdana Menteri akan hubungi, selain ramai lagi yang tampil memberikan sokongan.

"Bukanlah niat saya mahu menjadi popular atau meraih simpati, saya hanya mahu minta bantuan pihak berkaitan.

"Apapun, saya bersyukur dan berharap urusan selepas ini dipermudahkan. Buat saya dan buat semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 3:58 PM