POKOK tumbang di Jalan Ampang berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi semalam menyebabkan penunggang motosikal cedera. FOTO Ihsan pembaca
POKOK tumbang di Jalan Ampang berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pagi semalam menyebabkan penunggang motosikal cedera. FOTO Ihsan pembaca
Ilman Hafizuddin Raflee


INSIDEN pokok tumbang yang mengakibatkan suami isteri cedera di hadapan Menara Berkembar Petronas KLCC pagi semalam, perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, PBT perlu mengamalkan pelan pengurusan yang baik bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

"PBT diingatkan untuk mengamalkan pelan pengurusan pokok serta budaya penyelenggaraan yang baik di seluruh negara.

"Insiden yang berlaku baru-baru ini tidak sepatutnya dianggap sebagai kemalangan 'luar biasa' kerana kes serupa telah beberapa kali dilaporkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, insiden sama pernah berlaku pada 12 Oktober 2014, membabitkan dua orang anggota polis terbunuh apabila pokok tumbang di atas pondok kawalan polis di Kampung Attap, Kuala Lumpur semasa kejadian ribut petir.

Lam Thye berkata, cadangan pernah dibuat supaya pihak PBT, terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), untuk mengambil langkah keselamatan bagi setiap pokok di bawah bidang kuasa mereka ketika hujan lebat dan ribut petir.

"Saya percaya kita dapat mengelakkan kemalangan dan mengekalkan pokok-pokok tua yang menghiasi jalan utama dengan perancangan serta pengurusan yang betul oleh pihak berkenaan," katanya.

Selain itu, beliau turut berkata PBT perlu menubuhkan unit khas bagi memastikan pokok di bawah seliaan mereka sentiasa diperiksa dan dicantas.

"Pokok-pokok yang tumbuh secara tidak terkawal boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya dengan menghalang lampu isyarat, tanda jalan serta kemudahan awam lain," katanya lagi.

Katanya, PBT yang mempunyai unit khas perlu memantapkan lagi usaha dan memastikan inventori penuh pokok di bawah bidang kuasa mereka termasuk menggunakan pangkalan data.

"Semua pihak yang terbabit perlu tingkatkan kefahaman mengenai penyelenggaraan pokok kerana apa yang dilihat adalah tahap kesedaran masih rendah pada masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 12:00 PM