ROHANA (kiri) dan ibu angkat Chee Hou Lan. FOTO Amirudin Sahib
ROHANA (kiri) dan ibu angkat Chee Hou Lan. FOTO Amirudin Sahib
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Rohana Abdullah dan ibunya dijangka hadir ke Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya esok untuk memberi keterangan berhubung status kewarganegaraannya.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai pertemuan yang dijangka membincangkan mengenai kisahnya seperti dilaporkan Harian Metro baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan memastikan Rohana dan Chee Hoi Lan membawa dokumen berkaitan untuk semakan serta tindakan selanjutnya.

"Saya dimaklumkan bahawa pegawai di kementerian mahu berjumpa Rohana dan Mak Cik Hoi Lan untuk diambil keterangan.

"Difahamkan, isu ini masih dalam proses siasatan dan kita akan memberi kerjasama penuh untuk memudahkan urusan dan sebagainya," katanya kepada Harian Metro.

Gulam Muszaffar menjadi orang rujukan Rohana dan Hoi Lan sejak kisah ini mula disiarkan.

Menurutnya, dia akan memastikan setiap aspek dipatuhi bagi membolehkan Rohana menerima dokumen kerakyatan seperti yang diinginkannya.

"Sebelum ini, saya sudah berhubung dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perkara itu.

"Saya harap kisah ini tidak tular begitu saja kerana ada pihak yang perlu mengambil tanggungjawab dan seperti saya, ada peranan yang perlu dimainkan termasuk juga paparan di dalam Harian Metro sejak beberapa hari lalu.

"Insya-Allah selepas selesai, kita akan tengok aspek lain juga seperti pendidikan Rohana dan sebagainya. Terima kasih atas doa semua masyarakat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:21 PM