ROHANA Abdullah. FOTO Arkib NSTP
ROHANA Abdullah. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Maklumat mengenai bapa Rohana Abdullah, gadis yang dipelihara seorang wanita berbangsa Cina sejak 22 tahun lalu, sangat terhad.

Ia menyebabkan usaha menjejakinya di sekitar ibu negara sukar kerana tidak ada yang mengetahui keadaan lelaki itu sama ada masih hidup atau sebaliknya.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu Gulam, Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, genap seminggu selepas menerima aduan daripada gadis itu, pihaknya menggerakkan usaha mencari bapa kandungnya berdasarkan alamat pada kad pengenalan.

Katanya, berdasarkan maklumat kad pengenalan, bapanya berusia 64 tahun, tinggal di Taman Koperasi Polis Fasa 2, di sini.

"Bagaimanapun, usaha kita untuk mencarinya masih buntu setakat ini.

"Ada penduduk sekitar mengenali bapa Rohana, tetapi tidak ada nombor untuk dihubungi atau tahu siapa saudara mara dia. Kita akan usahakan lagi," katanya.

Gulam Muszaffar berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada beberapa pihak yang ingin membantu Rohana dan Chee Hoi Lan, namun buat masa ini keadaan tidak sesuai.

Katanya, ini kerana, fokus utama adalah memberi kerjasama kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan semakan dokumen dan sebagainya.

Harian Metro difahamkan, pegawai JPN sudah mengambil keterangan Rohana, hari ini, namun tiada maklum balas diberikan setakat ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghubungi Rohana memaklumkan akan membantu gadis berusia 22 tahun itu.

Selain itu, beliau turut bertanyakan mengenai kisah Rohana yang dijaga ibu angkatnya yang dipanggil Laoshi itu sejak kecil dan kagum dengan kemurnian hati warga emas berusia 83 tahun itu.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan, Hoi Lan, 83, menunjukkan kemurnian hati dan kasih sayang yang tinggi selepas memelihara Rohana sejak berusia dua bulan lagi.

Bukan saja menjaganya, warga emas itu sanggup mengeluarkan belanja bagi memastikan Rohana dapat belajar fardu ain dan makan makanan halal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 3:59 PM