GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa mengembalikan semula fungsi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berikutan pelbagai isu yang kian meruncing membabitkan warga kota sejak pembubarannya.

Ketua Umno Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, tindakan kerajaan mengecilkan saiz kabinet adalah langkah tepat namun Kementerian Wilayah Persekutuan tidak sepatutnya dimansuhkan.

Menurutnya, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) yang bertanggungjawab mentadbir wilayah itu dilihat kurang efektif.

"JWP dengan dibantu Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pandangan peribadi saya tidak cukup kuat untuk menguruskan dasar, hala tuju, gerak kerja & pelaksanaan di peringkat agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini.

"Ini kerana isu punca kuasa yang amat ketara terhad ditambah dengan kesibukan Perdana Menteri dalam urusan menguruskan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Gulam Muszaffar berkata, perkara itu jelas kelihatan membabitkan beberapa dasar yang tertangguh seperti lantikan portfolio penting termasuk Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040 juga terbantut.

"Isu dan masalah seperti aliran trafik yang kian meruncing, masalah perumahan mampu milik, kebajikan dan banyak lagi tidak dapat diselesaikan secara tuntas," katanya.

Justeru, beliau menyifatkan pembubaran KWP ibarat 'membunuh angsa bertelur emas' kerana Kuala Lumpur adalah jendela pemangkin pembangunan negara.

Katanya, disebabkan itu, pihaknya menggesa kerajaan mengembalikan semula fungsi dan punca kuasa KWP bagi mentadbir Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 10:54 PM