Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa bersyukurnya saya sebaik menerima berita bahawa kewarganegaraan adik Rohana diluluskan.

"Rasa beban di bahu saya terangkat dan saya sudah berbakti kepada guru tadika saya. Kepada Rohana, jadilah rakyat Malaysia yang baik," kata Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim.

Beliau berkata, episod kisah lara Rohana Abdullah, 22, yang disiarkan akhbar ini Januari lalu 'berakhir dengan sempurna' semalam.

Katanya, banyak cabaran diharungi dia, Chee Hoi Lan, 83, Rohana dan wartawan sendiri sepanjang membantu dua beranak itu mendapatkan kelulusan berkenaan.

"Banyak perkara teknikal yang perlu kita hadapi, tetapi itu orang lain tidak tahu. Sepanjang tempoh itu juga saya hanya boleh meminta Rohana dan mak cik Hoi Lan bersabar," katanya kepada Harian Metro.

Gulam Muszaffar berkata, dia berterima kasih atas perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Harian Metro dan semua pihak yang membantu kes berkenaan sehingga selesai setakat ini.

Katanya kisah berkenaan akan menjadi iktibar kepada semua pihak supaya sentiasa tabah dalam mengharungi cabaran.

GULAM Muszaffar (kanan sekali) ketika bertemu Rohana, baru-baru ini (gambar fail). FOTO Amirudin Sahib
GULAM Muszaffar (kanan sekali) ketika bertemu Rohana, baru-baru ini (gambar fail). FOTO Amirudin Sahib

"Rohana mungkin menjadi mangsa keadaan, tetapi dia membuktikan semangatnya untuk terus berusaha mendapatkan apa yang sepatutnya, akhirnya dia berjaya," katanya.

Sementara itu, Hoi Lan berkata, dia gembira dengan kelulusan berkenaan dan berharap akan menjadi permulaan hidup baharu buat Rohana.

"Tidak ada apa yang saya nak cakap, terima kasih semua," katanya.

Sementara itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berharap Rohana dapat mencapai cita-cita seperti yang diidamkannya selama ini.

Katanya, pihaknya juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri kerana menyediakan solusi yang baik berhubung kisah itu.

"Kisah ini memang luar biasa, dari segi semangat dan kemahuan serta hubungan antara Rohana dan Hoi Lan sehingga Perdana Menteri sendiri memberikan perhatian.

"Saya juga harap Rohana dapat membalas kebaikan kerajaan, berbakti kepada negaranya yang baharu serta ibu angkat yang membesarkannya," katanya.

Hermono berkata, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Harian Metro dan Gulam Muszaffar kerana mengangkat isu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi kes seumpamanya pada masa depan.

"Kita akan memberikan kerjasama yang terbaik dalam kes seperti ini kerana seperti saya cakap sebelum ini, yang paling penting sekali seseorang itu perlu menjadi warga negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 6:10 PM