RAJA Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak KK Singapura. FOTO Facebook Rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/RPO
RAJA Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak KK Singapura. FOTO Facebook Rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/RPO
BERNAMA

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK Singapura hari ini, bersempena dengan Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke republik itu.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong disambut isteri Perdana Menteri Singapura Datin Paduka Ho Ching, yang juga Pengerusi Yayasan Temasek dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KK Prof Alex Sia.

Turut hadir isteri Menteri Luar Singapura Joy Balakrishnan dan isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datin Che Norhayati Soib.

"Raja Permaisuri Agong turut dibawa ke Bank Susu Badan KK dan Loker Peti Sejuk Beku Susu Badan KK pertama di dunia yang menyediakan tempat untuk penderma susu badan dan penerima mengambil susu badan sepanjang 24 jam selama tujuh hari," menurut hantaran itu.

Selain itu, Raja Zarith Sofiah juga berkenan melawat Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan Pusat Penjagaan Khas bagi melihat demonstrasi Program Terapi Sentuhan untuk Kesihatan Bayi.

Pada lawatan itu, Raja Permaisuri Agong dipersembahkan dengan penerangan Hospital KK dan program yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Temasek.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Singapura selama dua hari bermula semalam, atas jemputan Presiden republik itu Tharman Shanmugaratnam.

Lawatan Negara itu adalah yang pertama sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta pada 31 Jan lepas dan keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 7:05 PM