FOTO Ihsan Facebook Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
FOTO Ihsan Facebook Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
BERNAMA

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor.

Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.

"Seri Paduka Baginda dan Che' Puan Mahkota turut berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) selaku penganjur majlis kepada 100 penerima golongan B40 dari daerah Johor Bahru," menurut hantaran di Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani dan isteri.

Seramai 400 tetamu jemputan telah menghadiri majlis tersebut yang diserikan dengan persembahan kesenian pelbagai kaum.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan beramah mesra bersama tetamu jemputan sebelum berangkat balik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 8:13 PM