ADNAN, gambar fail. FOTO NSTP
ADNAN, gambar fail. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap beberapa cadangan yang dikemukakan oleh pihaknya bagi penambahbaikan dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dapat dilaksanakan segera.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, cadangan lain itu termasuklah berkaitan kenaikan pangkat, pemberian elaun, pencen pesara serta indikator lain dalam pakej SSPA.

Namun dalam masa yang sama, pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengumumkan mengenai kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember ini.

"Memang ada insentif lain yang Cuepacs perjuangkan dan kini ia dalam pertimbangan terakhir. Apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri tadi adalah isu kritikal dan ia memberikan kelegaan kepada penjawat awam.

"Kerana sebelum ini kami (penjawat awam) runsing mengenai gaji dan akan tertekan sekiranya tiada kenaikan dalam waktu terdekat. Perdana Menteri sudah membuatkan pertimbangan yang sewajarnya mengenai kenaikan gaji penjawat awam dan dalam masa yang sama tidak melupakan sektor lain.

"Namun dalam masa yang sama Cuepacs minta supaya penjawat awam ini untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menjaga tata kelola terbaik kepada rakyat dan negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja 2024, di sini hari ini.

Sebelum ini, Adnan dilaporkan berkata, isu berkaitan penjawat awam yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah berkaitan dengan pelarasan gred, kenaikan gaji tahunan serta tempoh kenaikan pangkat yang mengambil masa terlalu panjang.

Dalam pada itu, Adnan turut berharap kerajaan mempertimbangkan mengenai kenaikan pencen pesara berikutan peningkatan kos sara hidup kini.

"Cuepacs harap kerajaan dapat memberikan sedikit pertimbangan secara ihsan sama ada pesara ini layak atau tidak untuk mendapatkan peningkatan pencen. Jika mereka layak, berilah sebaik mungkin kerana pemberian pencen ini juga berada dalam keadaan kritikal," katanya.

Sementara itu, mengenai kekeliruan sama ada peningkatan gaji penjawat awam itu melebihi 13 peratus atau pun 15 peratus, Adnan berkata pihaknya mengambil pendekatan bahawa jumlahnya itu adalah melebihi 13 peratus.

"Saya tidak dapat sebut angkanya, tetapi apa yang saya faham dan ini juga harapan Cuepacs adalah melebihi 13 peratus itu adalah jumlah minimum dan akan ada lagi pertimbangan khas oleh Perdana Menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 5:03 PM