GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mempercepat kajian berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) supaya ia dapat dilaksana tahun depan.

"SSPA yang baharu ini adalah amat penting bagi memastikan gaji yang diterima oleh penjawat awam ketika ini sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa yang begitu mencengkam.

"Cuepacs meletakkan kepercayaan penuh kepada Perdana Menteri untuk merangka usaha yang boleh mempercepatkan pelaksanaan SSPA," kata Presiden Cuepacs Datuk Dr Adnan Mat dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Cuepacs menghargai Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam kepada semua penjawat awam sementara menunggu kajian SSPA yang diumumkan, namun ia hanya bersifat sementara.

"Bayaran insentif hanyalah bersifat sementara dan tidak mampu menyelesaikan masalah pendapatan yang tidak setara dengan peningkatan kos sara hidup.

"Pelaksanaan SSPA yang baharu serta komprehensif adalah perkara yang dituntut oleh penjawat awam dan perkara ini sudah disampaikan kepada kerajaan melalui sesi libat urus yang telah dilaksanakan sebelum ini," katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan insentif RM2,000 buat semua penjawat awam gred 56 ke bawah dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam menerusi Belanjawan 2024.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan RM2.4 bilion bagi membina dan membaik pulih kuarters penjawat awam.

Mengulas lanjut Adnan berkata, inisiatif itu diharap dapat menyelesaikan masalah perumahan penjawat awam terutama mereka yang bertugas di kawasan bandar di mana kos sara hidup tinggi perlu ditanggung.

"Bagaimanapun Cuepacs berharap pembinaan kediaman mampu milik untuk dibeli oleh penjawat awam dilaksanakan semula oleh kerajaan.

"Ia adalah langkah yang lebih tepat untuk membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri berbanding menyewa atau tinggal di kuarters kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 11:12 PM