AHMAD Zahid  (duduk tengah) bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Teknousahawan TVET@KKDW.
AHMAD Zahid (duduk tengah) bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Teknousahawan TVET@KKDW.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Kerajaan terus komited melahirkan usahawan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau Teknousahawan yang berjaya dalam usaha memperkasa golongan generasi baru.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata potensi keusahawanan ini sangat besar kerana ia juga merangkumi satu cabang yang mewujudkan masyarakat bukan sahaja mahir dalam bidang keusahawanan tetapi mampu mengatasi cabaran.

Katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), secara tidak langsung, ia akan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan dapat mendepani arus revolusi teknologi yang semakin pantas.

"Dalam mendepani arus revolusi teknologi semakin pantas, negara perlu melahirkan golongan teknousahawan yang bukan saja mampu mengusahakan perniagaan, malah mempunyai pengetahuan saintifik dan kemahiran teknologi.

"Secara umumnya, Teknousahawan adalah cabang bidang keusahawanan yang mengaplikasi dan menggunapakai teknologi di dalam pengeluaran produk, perkhidmatan, pengurusan perniagaan dan pembuatan keputusan berkaitan perniagaan.

"Untuk melahirkan golongan ini, ia bukan hanya hasil dorongan daripada pihak kerajaan melalui kewujudan institusinya semata-mata tetapi individu itu sendiri perlu memunculkan diri sebagai teknousahawan yang berjaya," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Teknousahawan TVET@KKDW di sini, baru-baru ini.

Dianjurkan buat julung kalinya, Anugerah Teknousahawan TVET@KKDW ini bertujuan menghargai ketabahan dan kecekalan penggerak teknousahawan melalui TVET di bawah KKDW.

Pada malam itu, tujuh anugerah berprestij dipertandingkan dalam tiga kategori utama iaitu Kategori Institusi, Kategori Individu dan Kategori Ikon.

Selain itu, sebuah Anugerah Khas diwujudkan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada ikon yang menunjukkan pencapaian luar biasa, berimpak besar dan sumbangan kepada komuniti dalam bidang keusahawanan.

Pemenang Anugerah Khas ini akan dinobatkan sebagai Ikon Teknousahawan TVET@KKDW 2023.

Anugerah ini juga melambangkan kemampuan dan kejayaan yang dicapai atas kegigihan dan usaha pemenang secara individu mahu pun organisasi dalam mencapai keunggulan dalam bidang teknologi, keusahawanan dan kemahiran.

Program Keusahawanan TVET atau Teknousahawan di KKDW bermula sejak 2006 dengan program inkubator di institusi-institusi kemahiran, kemudian berkembang dengan program-program lain seperti Program Keusahawanan Digital (eUsahawan), Program Mobile Technical Services, Program Diploma Teknousahawan, Training & Income Generation (TRIG), ProgramTeknoputra, Mobilepreneur dan Program Keusahawanan Sosial.

Ahmad Zahid berkata sebagai pelopor utama yang melahirkan ramai usahawan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui pelaksanaan model pendidikan keusahawanan seperti MARA Startup and Accelarator EdupreneurModel (MSEAD) di Institusi Pendidikan MARA (IPMa), pelbagai program keusahawanan dibentuk menjadi lebih berstruktur dan holistik.

"Kelebihannya, walaupun berada di institusi pendidikan ia tetap memberi peluang kepada pelajar menjana pendapatan semasa di dalam pengajian di samping meningkatkan tahap kebolehpasaran pelajar itu sendiri.

"Jadi saya percaya, sudah sampai masanya program-program pendidikansedia ada diperkasa dan pendekatannya diberi nafas baru agar usahawan sedia ada atau yang bakal dilahirkan sentiasa lestari dan kekal mampan dalam pasaran.

"Program keusahawanan ini juga wajar diberi penekanan oleh institusi-institusi TVET di bawah Agensi KKDW selain MARA," katanya.

Teknousahawan adalah aset negara yang dapat memperkasa sektor pendidikan dan ekonomi.

Oleh itu Ahmad Zahid berharap institusi TVET lebih agresif dalam membangunkan dan menerapkan kurikulum keusahawanan dalam silibus pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar dan pelatih TVET.

Katanya, Silibus mesti up-to-date sepantas pergerakan teknologi global.

"Saya mahu institusi TVET menyediakan platform dan dana untuk 'start-up' perniagaan kepada pelajar dan alumni TVET memulakan keusahawanan TVET.

"Change the mindset menjadikan Teknousahawan sebagai kerjaya masa hadapan.

"Saya juga inginkan semua institusi TVET agar dapat menyediakan peluang dan ruang kepada tenaga pengajar bidang Teknousahawan untuk mengikuti kursus dan program upskilling dan reskilling yang bersesuaian untuk peningkatan kendiri dan seterusnya menghasilkan lebih ramai Teknousahawan yang berjaya,"katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid juga yakin penganjuran anugerah ini mencapai matlamat penganjurannya serta menyuntik semangat dan motivasi kepada semua warga Institusi TVET KKDW untuk terus menyumbang perkhidmatan yang terbaik dan bersaing secara sihat untuk melakar kejayaan demi kejayaan.

"Bagi semua yang hadir dan di luar sana, jadilah Teknousahawan yang bijak, berani dan inovatif.

"Pelbagai peluang dan kejayaan yang tiada hadnya menanti anda di luar sana.

"Sama ada anda berjaya atau tidak mendapat anugerah malam ini, anda tetap juara dalam memartabatkan Agenda Teknousahawan Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 7:01 AM