PELATIH IPMA dilengkapi dengan ilmu kemahiran yang memenuhi keperluan industri 4.0.
PELATIH IPMA dilengkapi dengan ilmu kemahiran yang memenuhi keperluan industri 4.0.
Suliati Asri


Majlis Amanah Rakyat (MARA) agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus komited melahirkan pekerja mahir dalam pelbagai bidang dengan menawarkan latihan selari dengan tuntutan industri serta keperluan pembangunan ekonomi negara.

Bagi mencapai hasrat itu MARA memperhebat Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang bermatlamat membangunkan modal insan berteraskan nilai murni, berkemahiran dan pengetahuan berorientasikan keusahawanan.

IPMA merangkumi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII) dan German-Malaysian Institute (GMI) menawarkan pelbagai program dan kursus yang bukan hanya mampu melahirkan pekerja berkemahiran, tetapi juga menyediakan peluang kerjaya yang meluas kepada graduannya.

UniKL tawar pelbagai pengkhususan tertinggi

UniKL universiti teknikal keusahawanan utama di Malaysia.

Matlamat UniKL untuk menyediakan graduannya dengan segala ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk menyumbang dan memainkan peranan utama dalam ekonomi berasaskan global dan pengetahuan.

Bukan itu saja, berikutan negara memerlukan lebih daripada institusi pengajian tinggi teknikal, UniKL turut menyediakan graduannya dengan pengetahuan teknologi yang kukuh dan kemahiran keusahawanan terbaik bagi memenuhi permintaan semasa industri.

UniKL menawarkan pelbagai program asasi, diploma, sarjana muda dan pascasiswazah di 13 cawangan di seluruh negara iaitu UniKL Malaysia France Institute (MFI), UniKL British Malaysian Institute (BMI), UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT), UniKL Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI), UniKL Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT), UniKL Malaysian Institute of Chemical and Bio-Engineering Technology (UniKL MICET), UniKL Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET), UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), UniKL Malaysia Italy Design Institute (UniKL MIDI), UniKL Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC), UniKL Institute of Medical Science Technology (UniKL MESTECH), Sekolah Perniagaan UniKL, Institute of Postgraduate Studies (IPS), Center for Preparatory Studies (CPS) dan Center for Advancement & Continuing education (ACE).

Menariknya dengan konsep 'Satu Institut, Satu Pengkhususan', UniKL menyumbang bukan sahaja kepada pendidikan tinggi, tetapi juga penyelidikan dan pembangunan untuk tujuan pengkomersialan.

Dengan visi menjadi universiti teknikal keusahawanan yang terkemuka dan misi untuk melahirkan usahawan teknologi global yang berdaya usaha, UniKL menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran yang lengkap dan seiring dengan teknologi semasa.

Graduan UniKL berjaya memantapkan kerjaya atau menjadi usahawan berjaya di arena tempatan dan antarabangsa.

Melangkah lebih jauh di UPTM

UPTM adalah IPMA yang bernaung di MARA. Universiti kedua MARA ini sudah melalui transformasi luar biasa daripada sebuah kolej kepada kolej universiti dan kini universiti yang lengkap.

Hal itu bukti komitmen terhadap kecemerlangan akademik dan dedikasi institusi dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Berpaksikan visi dan misi untuk menjadi universiti pilihan dalam memupuk profesional yang boleh membuat perubahan dalam masyarakat, UPTM sangat optimis untuk menjadikan graduan yang berkemahiran, berpengetahuan dan mempunyai nilai diperlukan untuk cemerlang dalam bidang pilihan mereka.

Tumpuan untuk menyediakan pendidikan komprehensif yang melangkaui pengetahuan secara teori, kini UPTM adalah institusi pilihan yang menawarkan pelbagai peringkat pengajian pengambilan tiga kali setahun dari peringkat Asasi sehingga ke program Ijazah Doktor Falsafah.

Dengan kepakaran dan pengalaman lebih 40 tenaga pengajar yang mempunyai kelayakan PhD dan seramai 221 orang pensyarah keseluruhannya, ia gambaran utama pendidik universiti yang sentiasa komited memastikan pelajar menerima perhatian dan sokongan mentor mereka.

Penyediaan kurikulum dan kualiti pengajaran yang berpaksikan teknologi kontemporari, pendidikan perniagaan dan profesional membuahkan hasil apabila UPTM mendapat penarafan Gold Status dan ke arah pengiktirafan status Platinum.

UPTM menawarkan 28 program dalam pelbagai peringkat iaitu daripada Asasi sehinggalah ijazah Doktor Falsafah.

Semua kursus ditawarkan mendapat akreditasi dan pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta mendapat pengiktirafan beberapa badan kolaborasi dan profesional iaitu SIRIM, MQS, CMI dan MIA.

Apa yang pasti, selain dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, graduan UPTM juga mempunyai laluan kerjaya yang merangkumi pelbagai bidang mengikut kursus yang diikuti antaranya pengurusan, perniagaan dan perakaunan, pendidikan, badan profesional perakaunan, teknologi & ICT serta audit.

German-Malaysian Institute (GMI)

Ditubuhkan pada 1991, GMI dalah pusat latihan berasaskan kemahiran dengan pembelajaran yang memfokuskan kepada 70 peratus latihan praktikal dan 30 peratus teori yang komprehensif serta seimbang.

Institut ini menawarkan pendidikan kejuruteraan dengan peluang untuk pengkhususan dan pembelajaran serta pembangunan kendiri.

Bagi memastikan proses pembelajaran berjalan dengan baik, GMI menyediakan kelengkapan pembelajaran yang serba lengkap iaitu makmal, bengkel, mesin dan keseluruhan teknologi bertaraf industri.

Bukan itu saja, GMI juga diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan relevan kepada keperluan industri serta kurikulum pembelajarannya juga berkualiti dalam membangunkan kompetensi pekerja berkemahiran tinggi.

Graduan GMI juga mudah memperoleh pekerjaan kerana majoriti industri mengetahui kelebihan kemahiran yang dimiliki graduan GMI.

Laluan pengajian ke peringkat ijazah lebih cerah samada di dalam dan luar negara.

INSTITUSI TVETMARA @ KKTM, MJII & IKM

Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII) dan Institusi Kemahiran MARA (IKM) juga adalah institusi TVET di bawah MARA.

Entiti institusi TVET MARA ini terletak di bawah pemantauan dan seliaan Bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT) MARA.

Sebagai institusi pendidikan TVET yang berpengalaman melebihi lima dekad, KKTM, MJII dan IKM memberi sumbangan yang besar kepada negara di dalam melahirkan modal insan berkompetensi berasaskan industri dan teknousahawan yang berjaya sejajar dengan keperluan industri negara.

Penubuhan IKM adalah untuk melahirkan modal insan yang seiring berasaskan industri serta teknousahawan yang berjaya sejajar dengan keperluan negara.

Sejak tertubuhnya institusi pertama di Melaka pada tahun 1968, IKM semakin berkembang dan kini mempunyai 14 kampus di seluruh negara.

Manakala program yang berfokus kepada teknologi tinggi yang dipacu oleh 10 kampus KKTM dan sebuah kampus iaitu MARA Japan Industrial Institute (MJII).

Daripada asalnya dikenali sebagai 'sekolah tukang' ketika zaman RIDA iaitu pusat latihan yang melahirkan pekerja mahir dalam sesuatu bidang, pendidikan kemahiran MARA terus berevolusi dengan menawarkan latihan sejajar dengan tuntutan industri dan keperluan pembangunan ekonomi negara.

KKTM, MJII dan IKM memberi tumpuan dalam pelbagai bidang pengkhususan di bawah 12 kluster iaitu Automotif, Bioteknologi, Bioperubatan, Alam Bina, Elektrik, Elektronik, Seni dan Rekabentuk, Pemprosesan Bahan, Minyak dan Gas, Mekanikal Pembuatan, Awam dan Mekanikal Servis dalam peringkat sijil, diploma dan teknousahawan.

Menariknya semua program yang dilaksanakan adalah bersifat 'hands-on' dan berteraskan kompetensi. Program yang ditawarkan juga mendapat klasifikasi dan akreditasi dari MQA untuk Kejuruteraan, MQA dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk eknologi Kejuruteraan, JPK untuk Teknologi, Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Construction Industry Development Board, Training Welding Inspector dan Petronas untuk kompetensi, UMW dan CTRM untuk diploma Industri serta MARA untuk diploma Teknousahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 11:47 AM