CHE Murad  (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Tenaga Pengajar Sijil Kejuruteraan Pertanian Institut Kemahiran Tinggi  Perda, Mohammad Ridhuwan Idris (kanan) mengenai silibus pengendalian dron semburan racun dan baja dalam pameran sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di Bertam Square Kepala Batas, semalam.
CHE Murad (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Tenaga Pengajar Sijil Kejuruteraan Pertanian Institut Kemahiran Tinggi Perda, Mohammad Ridhuwan Idris (kanan) mengenai silibus pengendalian dron semburan racun dan baja dalam pameran sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di Bertam Square Kepala Batas, semalam.
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Ekspo Institusi Pendidikan Latihan dan Vokasional (TVET) anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Bertam Square dekat sini, memberi ruang kepada pempamer mendedahkan pelbagai manfaat yang boleh diperoleh dalam bidang kemahiran kepada pengunjung, khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia sekali gus membuka minda masyarakat berhubung kebaikan TVET yang kini menjadi pilihan utama selain laluan bidang akademik dalam membina kerjaya masa hadapan.

MOHAMMAD Zulfarhan  (duduk) menunjukkan cara menghasilkan produk cenderamata dalam pameran sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di Bertam Square.
MOHAMMAD Zulfarhan (duduk) menunjukkan cara menghasilkan produk cenderamata dalam pameran sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di Bertam Square.

Seorang pereka grafik, Mohammad Zulfarhan Norizat, 37, berkata dia yang membuka perniagaan menghasilkan pelbagai barangan kreatif adalah berkat daripada ilmu kemahiran yang diperolehnya sepanjang belajar dalam institusi kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Selepas SPM, saya mengambil kursus baikpulih penghawa dingin di GiatMARA sebelum mengambil kursus sijil serta diploma dalam bidang reka bentuk mekanikal di Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut, Perak dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang Lukisan Industri.

"Apabila tamat belajar saya bekerja sementara dengan pihak industri untuk mencari pengalaman sehingga saya kini membuka perniagaan hasil daripada kemahiran yang saya peroleh.

"Inilah kebaikan TVET yang kemahiran kita belajar boleh digunapakai sampai ke tua yang ia tidak rugi untuk dipelajari bahkan menjamin masa depan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan demonstrasi perkhidmatan percetakan 3D di ruang pameran yang disediakan.

EKSPO TVET@KKDW 2023 di Bertam Square Kepala Batas.
EKSPO TVET@KKDW 2023 di Bertam Square Kepala Batas.

Ekspo selama tiga hari sehingga Ahad ini membabitkan penyertaan 280 institusi pendidikan TVET di bawah tujuh agensi utama KKDW meliputi 62 pempamer mengambil bahagian.

Bagi bekas pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ahmad Solih Mohamad Johari, 33, berkata dia menyertai ekspo itu bagi mendedahkan kepada pengunjung khususnya pelajar lepasan SPM bahawa kerjaya dalam bidang kemahiran mempunyai ruang sangat luas asalkan ada minat yang tinggi.

"Tiada yang mustahil untuk berjaya dalam apa jua bidang kemahiran yang kita ambil asalkan kita ada minat untuk belajar.

"Seperti saya yang belajar teknologi acuan kini dengan kemahiran itu saya boleh buka perniagaan yang menghasilkan barangan alat gantian atau komponen elektronik untuk pasaran luar negara termasuk Korea dan Jepun," katanya yang hanya bermodalkan RM5,000 bagi membuka perniagaan itu sejak lima tahun lalu.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Aieman Najmi Abdul Aziz, 21, berkata dia yang kini belajar di GiatMARA Kota Raja, Selangor teruja dengan pelaksanaan ekspo yang membolehkan dia menimba ilmu.

"Ekspo seperti ini dapat membantu anak muda yang nak tahu lebih mendalam soal TVET dan bagaimana ia boleh membentuk kerjaya dengan memperoleh pendapatan luar biasa," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW Datuk Che Murad Sayang Ramjan, berkata objektif penganjuran ekspo itu adalah memberi pendedahan khususnya pelajar lepasan SPM yang mencari peluang melanjutkan pelajaran.

AHMAD Solih  (dua dari kanan) bersama rakan-rakan menyusun antara produk dan mesin dihasilkan mereka dalam pameran sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di Bertam Square.
AHMAD Solih (dua dari kanan) bersama rakan-rakan menyusun antara produk dan mesin dihasilkan mereka dalam pameran sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di Bertam Square.

"Kita sedia maklum bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM6.7 bilion untuk memperkasa bidang TVET bagi 12 kementerian termasuk KKDW seperti yang diumumkan menerusi Belanjawan 2023

"Daripada jumlah itu, sejumlah RM679.46 juta telah diperuntukkan untuk institusi TVET di bawah KKDW dan ekspo ini antara platform untuk kita mempromosikan pendidikan berkaitan TVET," katanya yang menyasarkan 300,000 pengunjung secara fizikal dan maya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 7:01 AM