Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Kerajaan Perak mahu memperkasa dan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai satu daripada strategi mengelakkan kebanjiran keluar bakat muda negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia sebagai antara langkah memenuhi permintaan tenaga kerja dan menjadikan negeri ini 'mesra pelabur' dengan lebih banyak kilang perusahaan akan dibuka di Perak menjelang tahun 2030.

Katanya, untuk itu Perak mahu menjadi Koridor TVET Malaysia menjelang tahun 2030.

"Macam saya selalu sebut, kita hendak orang muda Perak supaya mengambil peluang mendapatkan ilmu dan kemahiran daripada institusi TVET yang menyediakan subjek berkaitan dengan kemahiran itu.

"Apabila banyak kilang perusahaan datang ke Perak dan lebih banyak peluang pekerjaan sudah tentu keutamaan diberi kepada orang yang mempunyai sijil TVET sama ada sijil kemahiran penuh atau pun separa mahir.

"Sebab itu saya katakan mana-mana orang muda di Perak yang tak dapat menyambung pengajian peringkat tinggi, tak boleh masuk universiti dan sebagainya maka jangan bimbang kerana dia boleh menempatkan dirinya dalam banyak organisasi yang menganjurkan TVET," katanya ketika ditemui dalam program empower Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) atau dikenali empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Dewan Serbaguna, Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 400 peserta menerima sijil selepas menjalani pelbagai kursus kemahiran antaranya pembuatan bakeri, kulinari, kimpalan, menjahit dan dandanan dengan setakat ini, kira-kira 2,400 warga Perak sudah mengikuti program empowerNCER.

Katanya, setakat ini terdapat lebih 100 institusi pendidikan di Perak dengan sekurang-kurangnya 62 daripadanya menyediakan subjek TVET.

SAARANI (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Ikon pada Majlis Konvokesyen Program EmpowerNCER Perak Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Kolej Kemahiran Tinggi Mara hari ini. FOTO Bernama
SAARANI (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Ikon pada Majlis Konvokesyen Program EmpowerNCER Perak Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Kolej Kemahiran Tinggi Mara hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 9:59 PM