Sebahagian daripada 2.8 tan keratan ayam sejuk beku yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk Kompeks ICQ Bukit Kayu Hitam, Selasa lalu. FOTO IHSAN MAQIS
Sebahagian daripada 2.8 tan keratan ayam sejuk beku yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk Kompeks ICQ Bukit Kayu Hitam, Selasa lalu. FOTO IHSAN MAQIS
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih 2.8 tan keratan ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM22,560 dari negara jiran, Isnin lalu.

Pengarah Maqis Kedah Hisham Abu Bakar berkata, rampasan dibuat selepas memeriksa sebuah lori kontena di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira 9.30 malam selepas mendapati terdapat perkara meragukan.

"Hasil pemeriksaan, sebanyak 235 kotak seberat 2,820 kilogram (2.8 tan) keratan ayam sejuk beku yang diisytiharkan adalah tidak tepat dan mengelirukan kerana mempunyai tarikh luput yang berlainan dengan sijil halal yang diisytiharkan.

"Kesemua barangan itu kemudian dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika sabit kesalahan, katanya, pelaku boleh dipenjara tidak melebihi enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 3:36 PM